Ekonomi Malaysia dalam keadaan baik.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dianggarkan mencecah 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini memberi isyarat negara berada di landasan untuk mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus bagi keseluruhan 2026, sekali gus mengatasi jangkaan awal beberapa penganalisis.
Anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi negara berkembang lebih pantas berbanding 5.4 peratus pada suku pertama, manakala pertumbuhan bagi enam bulan pertama 2026 dianggarkan mencapai 5.6 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu mendorong beberapa firma penyelidikan menyemak semula prospek ekonomi negara meskipun ketidaktentuan geopolitik dan dasar perdagangan global masih menjadi cabaran.
TA Securities berkata, momentum pertumbuhan disokong prestasi kukuh sektor duti import, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan perlombongan, sementara sektor pertanian kekal menguncup.
“Prestasi separuh pertama yang lebih baik daripada jangkaan dijangka mengangkat pertumbuhan ekonomi tahunan kepada sekitar 4.9 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran asal kami antara 4.3 hingga 4.7 peratus.
“Prestasi ini juga selari dengan pandangan Bank Negara Malaysia yang melihat pertumbuhan ekonomi berpotensi menghampiri paras tertinggi dalam julat unjuran rasmi,” menurut firma itu.
BIMB Securities Research pula lebih optimistik apabila menjangkakan ekonomi Malaysia mampu berkembang melepasi lima peratus, didorong harga komoditi yang kekal tinggi, permintaan global terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain pertumbuhan pelaburan asing.
Menurut firma itu, projek pusat data, pelaksanaan pelaburan langsung asing (FDI), pasaran buruh yang kukuh serta peningkatan jumlah pelancong akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, MBSB Research mengingatkan risiko luar masih boleh memperlahankan momentum ekonomi pada separuh kedua tahun ini.
“Ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan global dan dasar perdagangan Amerika Syarikat yang lebih ketat berpotensi memberi tekanan kepada sektor eksport negara.
“Di dalam negara pula, kenaikan inflasi boleh menjejaskan sentimen pengguna sekiranya peningkatan kos pengeluaran dipindahkan kepada harga jualan,” katanya.
Philip Capital pula melihat prospek ekonomi Malaysia terus positif dengan sektor semikonduktor global yang masih berkembang. Firma itu menjangka peningkatan aktiviti pembuatan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan isi rumah dan merangsang pertumbuhan sektor perkhidmatan.
Malaysia sebelum ini merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, didorong permintaan domestik yang kukuh, pelaburan swasta serta peningkatan eksport.
Data rasmi KDNK suku kedua akan diumumkan pada 14 Ogos depan dan dijangka menjadi penentu sama ada unjuran pertumbuhan ekonomi negara akan disemak lebih tinggi.
Ringgit dibuka tinggi menjelang PRN Negeri Sembilan: Bernama
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
[VIDEO] Khalid Samad lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih