Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun cabaran global meningkat: Bernama

July 5, 2026 · Isu semasa

Penganalisis ekonomi menyemak naik kadar pertumbuhan setahun penuh Malaysia bagi 2026 kepada 4.8 peratus daripada 4.6 peratus berikutan prestasi luar biasa pada separuh pertama tahun ini.

Prestasi tersebut dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh selain keupayaan negara menangani persekitaran luaran yang tidak menentu serta kejutan dalam ekonomi global.

Asas ekonomi berkenaan meletakkan Malaysia dalam kedudukan kukuh untuk mengharungi persekitaran luaran yang bergolak bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ekonomi negara kekal kukuh walaupun berdepan tekanan akibat impak perang Amerika Syarikat (AS)-Iran serta gangguan terhadap perdagangan maritim susulan penutupan Selat Hormuz.

Walaupun berdepan cabaran luaran, ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, manakala firma penyelidikan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang antara 4.6 hingga 4.9 peratus pada suku kedua.

Pada tahun lalu, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 5.2 peratus walaupun rakan dagang utama termasuk AS berdepan tekanan tarif yang tinggi.

Memandang ke hadapan, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ketegangan geopolitik di Asia Barat, harga minyak mentah yang tinggi serta ketidaktentuan perdagangan global kekal sebagai risiko penurunan utama kepada prospek ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2026.

Beliau berkata, permintaan domestik yang berdaya tahan, eksport yang pelbagai, aliran masuk pelaburan mampan serta dasar kerajaan yang berhemat menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Faktor ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan kukuh bersama dasar pragmatik kerajaan yang membantu ekonomi bertahan daripada ketegangan geopolitik, harga tenaga tidak menentu serta ketidaktentuan perdagangan global,” katanya.

Tempoh separuh pertama tahun ini turut menyaksikan perangkaan semula pelan fiskal ketika ketidaktentuan meningkat susulan perang di Asia Barat yang mendorong harga minyak mentah ke paras tinggi sekitar AS$120 setong.

Dalam masa sama, peningkatan dasar perlindungan perdagangan serta rantaian bekalan global yang rapuh terus menjejaskan prospek pertumbuhan dunia.

Antara faktor utama pertumbuhan ialah pelaburan diluluskan yang mencecah RM92.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun, selain eksport melonjak 45.3 peratus pada Mei serta lebihan akaun semasa meningkat kepada 3.0 peratus daripada KDNK.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi ekonomi lebih kukuh daripada jangkaan ini mencerminkan daya tahan rangka kerja Ekonomi MADANI yang disokong asas makroekonomi kukuh, pelaburan mampan serta pengurusan fiskal berhemah.

Beliau berkata langkah fiskal bersasar termasuk pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan bantuan BUDI Diesel membantu mengurangkan impak kenaikan harga bahan api global kepada rakyat.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata Malaysia berada dalam kedudukan kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global, disokong permintaan domestik, pasaran buruh aktif dan pelaburan berterusan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata separuh pertama 2026 boleh digambarkan sebagai tempoh “huru-hara” di peringkat global dengan isu tarif dan konflik Asia Barat memberi kesan besar kepada pasaran.

Namun beliau berkata struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai membolehkan negara menyerap kejutan luaran dengan lebih baik.

“Permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) menyokong eksport elektrik dan elektronik, manakala harga komoditi membantu sektor minyak sawit dan gas asli cecair (LNG),” katanya.

Beliau berkata aliran masuk pelaburan langsung asing dan disiplin fiskal turut menyokong keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia. – Bernama

Berita berkaitan
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
October 26, 2026· Isu semasa
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
October 25, 2026· Isu semasa
Syarat ekuiti Bumiputera 30 peratus kekal
October 20, 2026· Isu semasa
Perdagangan Malaysia cecah RM2.91 trilion, eksport melonjak: MATRADE
October 20, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
7 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
7 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
7 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
7 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok