Konflik tercetus antara Iran dengan Amerika Syarikat menggugat keamanan dunia.
Kerajaan memberi jaminan dasar ekonomi domestik negara kekal terkawal meskipun ketegangan geopolitik di luar negara semakin memuncak.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengurus dasar ekonomi secara berhemah, termasuk memastikan kestabilan politik terus dipelihara bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
“Selain keyakinan pelabur, kestabilan politik memberi kesan langsung kepada peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan dan inflasi yang lebih terkawal,” katanya ketika sesi santai bersama pelajar pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana.
Beliau mengulas kebimbangan terhadap perkembangan terbaharu di Timur Tengah susulan serangan melibatkan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran yang mencetuskan ketidaktentuan pasaran global.
Menurutnya, terdapat faktor ekonomi yang berada dalam kawalan kerajaan dan ada juga yang dipengaruhi keadaan luar.
“Barang yang kita keluarkan dalam negara, harganya boleh dikawal. Tetapi barang import seperti makanan haiwan yang banyak dibawa masuk dari Ukraine, Rusia dan Eropah, terkesan dengan gangguan rantaian bekalan,” jelas beliau.
Anwar berkata, sekatan dan ketegangan di kawasan Yaman serta Laluan Laut Merah menyebabkan kos penghantaran meningkat hampir dua kali ganda, sekali gus memberi tekanan kepada harga barangan.
“Itu sebabnya kita harap keamanan dapat dipulihkan segera supaya kos dapat distabilkan,” katanya.
Malaysia sebagai ekonomi terbuka sememangnya terdedah kepada turun naik pasaran global, khususnya dalam sektor perdagangan dan import makanan.
Namun sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022, kerajaan menekankan pendekatan fiskal berhemah dan kawalan inflasi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa mengikuti perkembangan makroekonomi semasa sebelum membuat sebarang keputusan dasar.
“Kalau kita luluskan semua tuntutan tanpa melihat kesan kepada defisit, akhirnya cukai terpaksa dinaikkan. Bila cukai naik, rakyat yang terbeban,” tegasnya.
Menurut beliau, pengurusan ekonomi memerlukan imbangan antara keperluan rakyat dan disiplin fiskal agar pertumbuhan negara kekal mampan dalam suasana global yang tidak menentu.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib