Johari Abdul Ghani.
Kenaikan harga kenderaan elektrik (EV) dan pengenalan semula cukai jalan mulai 1 Januari lalu tidak dijangka menjejaskan momentum peralihan negara kepada mobiliti hijau.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani berkata, keyakinan itu berdasarkan kos pemilikan keseluruhan EV yang lebih rendah, harga yang dijangka semakin kompetitif serta pertambahan kemudahan pengecasan di seluruh negara.
Menurutnya, walaupun harga belian awal sesetengah model EV mungkin meningkat, pengguna masih boleh menikmati penjimatan dalam jangka panjang melalui kos pengecasan dan penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman.
“Kos pemilikan keseluruhan EV adalah lebih rendah memandangkan kos pengecasan dan penyelenggaraan adalah lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (BEBAS-Gua Musang) mengenai kesan kenaikan harga dan cukai jalan EV terhadap usaha negara mengurangkan pelepasan karbon serta membangunkan ekosistem pengangkutan hijau.
Johari berkata, harga EV juga dijangka terus menjadi lebih menarik apabila pengeluaran pemasangan tempatan bertambah, persaingan pasaran meningkat dan teknologi bateri semakin maju.
Katanya, perluasan rangkaian stesen pengecasan pula penting untuk mengukuhkan keyakinan pengguna, khususnya mereka yang masih bimbang mengenai jarak perjalanan dan akses kepada kemudahan pengecasan.
“Perluasan rangkaian kemudahan pengecasan yang berterusan di seluruh negara akan terus meningkatkan keyakinan pengguna serta mempercepatkan kadar penerimaan EV,” katanya.
Beliau menjelaskan harga jualan kenderaan ditentukan oleh pengeluar mengikut strategi perniagaan masing-masing.
Namun, kenaikan harga dijangka lebih memberi kesan kepada EV import sepenuhnya atau CBU, manakala model yang dipasang dalam negara dijangka kekal lebih kompetitif kerana masih menerima insentif kerajaan.
Pengecualian penuh Lesen Kenderaan Motor bagi EV sebelum ini tamat pada 31 Disember 2025. Bermula tahun ini, pemilik EV dikenakan cukai jalan mengikut struktur baharu berdasarkan kapasiti kuasa motor dalam kilowatt (kW).
Johari berkata struktur baharu itu diwujudkan bagi memastikan kadar yang lebih adil dan seimbang, tanpa mengabaikan matlamat menggalakkan penggunaan kenderaan rendah karbon.
Dasar EV negara sebelum ini menyaksikan kerajaan memberi pengecualian 100 peratus duti import dan duti eksais kepada EV import antara 2022 hingga 2025, dengan anggaran hasil cukai yang dilepaskan mencecah RM3.3 bilion.
Kini, kerajaan memberi tumpuan kepada fasa pembangunan industri yang lebih mampan dengan menggalakkan pemasangan EV tempatan. Pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi model EV pemasangan tempatan diteruskan sehingga 31 Disember 2027.
“Kerajaan akan terus menilai keberkesanan dasar dan insentif semasa secara berkala bagi memastikan pembangunan ekosistem EV bukan sahaja menyokong agenda penyahkarbonan negara, malah memperkukuh industri automotif tempatan,” katanya.
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
MB Negeri Sembilan: Tiada calon lain selain Tok Min
[VIDEO] Khalid Samad lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih