Fahmi turut serta semasa program Wayang Pacak di Taman Saujana Rompin di Jempol.
Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kaum sebagai gambaran jelas budaya politik PAS yang didakwanya sering memainkan sentimen perkauman hingga boleh memecahbelahkan rakyat.
Menurut Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu, ahli politik sepatutnya menjadi ejen perpaduan dengan menghormati kepelbagaian masyarakat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan jurang antara kaum.
“Kenyataan beliau mencerminkan satu sikap yang agak meluas dalam PAS. Sebelum ini kita juga melihat kenyataan mengenai isu pendatang daripada Presiden PAS sendiri.
“Ini bukan politik yang baik. Politik sepatutnya menggalakkan perpaduan, memahami perbezaan dan berusaha menyatupadukan rakyat, bukan memecahbelahkan masyarakat,” katanya selepas Program Wayang Pacak di Taman Saujana Rompin di Jempol.
Beliau berkata, ketika negara sedang menyambut Bulan Kebangsaan, semua pihak sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional dan mengelakkan kenyataan yang boleh mencetuskan perpecahan.
“Saya harap Sanusi mengambil iktibar dan mengubah sikap beliau. Namun saya percaya perkara itu tidak akan berlaku,” katanya.
Kenyataan Fahmi itu dibuat susulan ucapan Sanusi pada Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 24 Julai lalu.
Dalam ucapan tersebut, Sanusi dilaporkan berkata Malaysia merupakan Tanah Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut mengulas kenyataan Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Aminuddin Harun tewas dalam PRN kali ini.
Menurutnya, kenyataan itu tidak berasas kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan menetapkan jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh seorang Melayu.
“Saya harap beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kekhilafan yang telah beliau lakukan,” katanya.
Fahmi turut menolak dakwaan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menganggarkan PH hanya memperoleh sekitar 10 peratus sokongan pengundi Melayu di Johor.
Beliau berkata, corak politik dan sentimen pengundi di Negeri Sembilan berbeza, selain yakin rekod pentadbiran Aminuddin yang memberi perhatian kepada semua lapisan masyarakat akan terus mendapat sokongan rakyat.
Mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) mungkin diadakan hujung tahun ini, Fahmi berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Sebaliknya, katanya, keutamaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri ketika ini ialah memperkukuh ekonomi negara serta menangani kesan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat, bukannya memberi tumpuan kepada pilihan raya lebih awal.
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
Selepas Zahid minta jangan datang NS, Sanusi sedia saman pihak manipulasi kenyataan
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS