Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun yang diumumkan Barisan Nasional (BN) menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai tidak realistik berbanding pencapaian semasa kerajaan negeri.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu berkata, kerajaan negeri ketika ini menetapkan sasaran minimum RM10 bilion pelaburan setiap tahun dan berjaya melepasi angka tersebut.
Menurutnya, Negeri Sembilan merekodkan pelaburan berjumlah RM19.1 bilion sepanjang tahun lalu, manakala bagi enam bulan pertama tahun ini nilai pelaburan hampir mencecah RM13 bilion.
“Apabila saya melihat manifesto BN, perkara yang menarik perhatian ialah sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun. Sedangkan tahun lalu kita sudah mencapai RM19.1 bilion dan enam bulan pertama tahun ini hampir RM13 bilion.
“Ini bermakna sasaran RM30 bilion itu sebenarnya mampu dicapai dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun berdasarkan prestasi semasa negeri,” katanya ketika mengulas manifesto BN.
Aminuddin berkata, sasaran pelaburan perlu terus dipertingkatkan selaras dengan perkembangan ekonomi Negeri Sembilan dan bukannya diturunkan.
Katanya, kerajaan negeri menetapkan sasaran sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun dan bercadang menaikkan lagi sasaran itu sekiranya momentum pelaburan dapat dikekalkan.
“Kita tidak boleh meletakkan sasaran lebih rendah daripada RM10 bilion setahun. Kalau prestasi terus meningkat, sasaran itu juga perlu dinaikkan. Jika hanya menetapkan RM30 bilion untuk lima tahun, ia tidak memberi isyarat yang kuat kepada pelabur untuk terus memilih Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut mendakwa sasaran yang terlalu rendah boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negeri.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan parti-parti utama tampil menawarkan pelbagai manifesto bagi menarik sokongan pengundi menjelang hari pengundian.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan serta kesejahteraan rakyat.
PH mempertahankan rekod pentadbiran dua penggal di bawah Aminuddin, manakala BN menawarkan pelbagai inisiatif baharu termasuk sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun.
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
Selepas Zahid minta jangan datang NS, Sanusi sedia saman pihak manipulasi kenyataan
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS