Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum

5 jam lalu · Politik

Pemuda Parti Amanah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang didakwa menyentuh isu 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja.

Laporan itu dibuat Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah Nasional, Ramadhan Lotphi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, petang Sabtu.

Ramadhan berkata, tindakan itu diambil susulan kenyataan Sanusi yang menyebut “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu” ketika ceramah politik, yang menurutnya berpotensi mengundang ketegangan antara kaum.

“Tiada mana-mana individu harus dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mengeluarkan kenyataan berpotensi menghasut atau menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Amanah menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan tanpa memilih bulu.

Menurutnya, Malaysia adalah tanah air kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau agama, manakala rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India kekal sebagai warganegara Malaysia, bukannya rakyat negara asal nenek moyang mereka.

“Cubaan menyamakan identiti rakyat Malaysia dengan negara asal nenek moyang mereka adalah naratif mengelirukan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional,” katanya.

Ramadhan turut mengingatkan Perlembagaan Persekutuan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, namun pada masa sama menjamin hak semua rakyat sebagai warganegara.

Katanya, mempertahankan hak istimewa orang Melayu tidak bererti menafikan kedudukan, maruah dan hak kaum lain di negara ini.

Beliau menambah, pemimpin politik sewajarnya menjadi ejen penyatuan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh membakar sentimen perkauman ketika kempen pilihan raya.

Isu berkenaan tercetus ketika kempen PRN Negeri Sembilan yang berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian.

Sepanjang tempoh kempen, beberapa kenyataan pemimpin politik menjadi perhatian dan mencetuskan polemik berkaitan perpaduan serta hubungan antara kaum.

Berita berkaitan
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
July 25, 2026· Politik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
July 25, 2026· Politik
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
July 25, 2026· Politik
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
July 25, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
2 jam lalu · Politik
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
3 jam lalu · Politik
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
6 jam lalu · Politik
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
8 jam lalu · Politik
Selepas Zahid minta jangan datang NS, Sanusi sedia saman pihak manipulasi kenyataan
8 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
6 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
11 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok