Farhash menafikan dakwaan Rafizi berhubung isu saham Azam Baki.
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengatakan dirinya mempunyai kaitan dalam urus niaga perniagaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Ahli perniagaan itu menegaskan tidak pernah berbincang mengenai urusan perniagaan dengan Azam seperti didakwa oleh bekas timbalan presiden PKR itu.
“Bagaimana saya hendak tahu saham apa yang dia atau sesiapa pun miliki? Tiada kena-mengena dengan saya,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Menurut laporan Bloomberg, Azam memiliki kira-kira 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partners, bersamaan sekitar 1.7 peratus pegangan. Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia turut mengesahkan pemilikan tersebut.
Isu ini timbul susulan persoalan Rafizi mengenai kemungkinan Azam memperoleh manfaat melalui pegangan sahamnya dalam Velocity Capita Partners Berhad, syarikat yang pernah digunakan Farhash untuk memperoleh pegangan besar dalam MMAG Holdings Berhad.
Nilai saham itu dianggarkan hampir RM800,000, melebihi had RM100,000 yang dibenarkan untuk penjawat awam dalam satu syarikat.
Azam dilaporkan berkata saham berkenaan telah diisytiharkan mengikut prosedur dan sudah dilupuskan pada tahun sama pembelian dibuat, walaupun rekod masih menunjukkan namanya sebagai pemegang saham.
Tahun lalu, Velocity Capital Partners memperoleh pegangan 6.49 peratus dalam MMAG, sebelum Farhash membeli 20 peratus saham syarikat itu pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Beliau kemudian menjual keseluruhan pegangan pada hujung tahun, mencatat kerugian hampir RM97 juta.
Rafizi mempersoalkan sama ada pegangan saham Azam meletakkannya dalam rangkaian urus niaga melibatkan MMAG dan NexG.
“Apakah kepentingan beliau dalam urus niaga syarikat yang pernah mencetuskan spekulasi sebelum ini?” katanya sambil menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.
Kontroversi saham bukan perkara baharu melibatkan Azam.
Pada 2021, beliau disiasat berhubung pegangan saham dalam beberapa syarikat tersenarai, namun Suruhanjaya Sekuriti kemudian memaklumkan tiada bukti dagangan proksi.
Isu ini kembali mendapat perhatian apabila kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan beberapa kali dan dijangka tamat pada Mei tahun ini.
Setakat ini, tiada bukti mengaitkan kemenangan tender kerajaan oleh NexG dengan pelaburan dalam MMAG.
Program Ziarah Kasih: Fahmi santuni warga emas, pesakit terlantar di Seri Menanti
62 NADI Negeri Sembilan tawar latihan AI percuma
Hubungan diplomatik baik, politik stabil jamin bekalan tenaga: PMX
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi