Gempa bumi.
Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 yang berlaku di perairan Batu Pahat, Johor petang Selasa mengejutkan penduduk selepas gegarannya dirasai di beberapa kawasan di empat negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada jam 4.55 petang dengan pusat gempa dikesan pada koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur.
Menurut MetMalaysia, pusat gempa berada pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 27 kilometer barat daya Batu Pahat.
“Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan MetMalaysia menerusi Facebook pada Selasa.
Gegaran turut dilaporkan dirasai di kawasan Putrajaya dan Kuala Lumpur.
MetMalaysia memaklumkan pihaknya terus memantau perkembangan susulan kejadian itu bagi memastikan keadaan terkawal serta mendapatkan maklumat berkaitan kesan gegaran yang dirasai orang awam.
Orang ramai yang merasai gegaran diminta membantu pihak MetMalaysia dengan mengisi borang soal selidik berkaitan kejadian berkenaan menerusi pautan yang disediakan jabatan itu.
Gempa bumi bermagnitud 4.4 dikategorikan sebagai gempa bumi lemah, namun gegaran masih boleh dirasai terutama di kawasan berhampiran pusat gempa, bergantung kepada kedalaman dan keadaan geologi setempat.
Kejadian gempa bumi di Malaysia bukan perkara baharu, terutama di Sabah dan beberapa kawasan di Semenanjung yang pernah merekodkan gegaran akibat aktiviti seismik tempatan atau gempa bumi di kawasan berhampiran.
Setakat kenyataan MetMalaysia itu dikeluarkan, tiada maklumat mengenai kerosakan atau kecederaan dilaporkan susulan gempa bumi berkenaan.
Anwar sampaikan keresahan keluarga mangsa masih hilang kepada PM Nepal: Bernama
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum