Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Lebih 30 jam selepas ditahan tentera Israel, nasib 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) masih belum diketahui, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga dan pihak berkaitan.
Sehingga jam 11 pagi tadi, tiada sebarang perkembangan baharu mengenai 186 aktivis yang dilaporkan ditahan di perairan antarabangsa, berhampiran Laut Mediterranean.
Kesemua mereka sebelum ini dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa kumpulan tersebut terputus hubungan pada hari ke-18 misi, selepas beberapa kapal mereka dipintas pihak berkuasa Israel.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 22 daripada 63 kapal dalam konvoi berkenaan telah disekat berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Antara rakyat Malaysia yang terlibat termasuk Zainal Rashid Ahmad, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani dan Hazwan Hazim Dermawan.
Turut ditahan ialah Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa, Mohd Redzal Amzah serta Muhamad Muhsin Zaidi.
“Sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai keadaan atau lokasi semua aktivis yang ditahan, termasuk rakyat Malaysia,” menurut kenyataan SNCC.
Dr Jihan Alya, satu-satunya wanita Malaysia dalam misi itu, merupakan pakar perubatan kecemasan dari Hospital Tawau.
Beliau dilaporkan berada dalam kapal yang membawa bekalan ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Palestin.
Ahmad Musa pula dikenali sebagai pengasas sebuah NGO tempatan yang aktif dalam membantu komuniti pelarian, manakala Hazwan Hazim ialah seorang jurumudi profesional dan atlet layar yang berpengalaman di peringkat antarabangsa.
Osman Zolkifli pula merupakan kapten kapal dengan lebih 15 tahun pengalaman dalam industri maritim.
Misi GSF adalah sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan.
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
Isu curi kandungan, Fahmi minta buat laporan kepada Majlis Media
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
Dana kerajaan mesti sampai kepada rakyat, bukan bocor: PMX
25 aduan petrol bercampur air di Perak: KPDN
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum