Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Orang ramai diingatkan supaya lebih berhemah dalam penggunaan air dan tenaga elektrik menjelang sambutan Aidilfitri yang lazimnya menyaksikan peningkatan ketara permintaan bagi kedua-dua sumber tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, penggunaan elektrik di kediaman boleh meningkat antara 20 hingga 40 peratus sepanjang musim perayaan berbanding hari biasa.
Justeru, beliau menekankan kepentingan amalan penjimatan dalam kalangan pengguna.
“Langkah mudah penjimatan elektrik termasuk mematikan lampu dan peralatan apabila tidak digunakan, mengelakkan mod sedia, serta menetapkan suhu penyaman udara sekitar 24 hingga 26 darjah Celsius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penggunaan peralatan elektrik berpenarafan kecekapan tenaga tinggi juga mampu membantu mengurangkan bil dan penggunaan tenaga secara keseluruhan.
Dalam pada itu, penggunaan air turut dijangka meningkat antara 30 hingga 35 peratus, khususnya di negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang beraya.
Operator bekalan air, jelasnya, telah bersiap siaga bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh tersebut.
“SPAN juga memastikan pelan kontigensi tersedia sekiranya berlaku sebarang gangguan tidak dijangka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sasaran penggunaan air harian per kapita ditetapkan pada kadar maksimum 160 liter, selari dengan piawaian antarabangsa.
Antara langkah penjimatan yang disarankan termasuk membaiki kebocoran paip, menggunakan air tadahan hujan dan mengamalkan penggunaan secara berdisiplin.
Selain itu, penggunaan semula air tidak tercemar seperti air wuduk serta pemilihan produk cekap air boleh membantu mengurangkan sehingga separuh bil bulanan.
Dalam aspek keselamatan, orang ramai juga diingatkan supaya memastikan sistem pendawaian rumah berada dalam keadaan baik.
“Uji Peranti Arus Baki sekurang-kurangnya sebulan sekali. Jika tidak berfungsi, dapatkan kontraktor bertauliah untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Beliau menambah, langkah pencegahan lain termasuk mengelakkan beban berlebihan pada soket, memastikan tangan kering ketika menggunakan peralatan elektrik dan tidak menggunakan telefon semasa dicas.
Kesedaran terhadap penggunaan sumber secara bijak bukan sahaja menjamin keselamatan sepanjang musim perayaan, malah penting dalam memastikan kelestarian bekalan tenaga dan air negara untuk jangka panjang.
Had umur 16 tahun bukan untuk sekat kebebasan bersuara: Fahmi
PMX umum peruntukan pembangunan untuk Kelantan naik RM8 bilion
Cadangan kekalkan kuota BUDI95 kepada pengamal media akan dibincang: Fahmi
Petronas boleh runding dapatkan bekalan minyak dari Rusia: Anwar
Hanya 15 peratus rakyat beli diesel pada harga pasaran: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan