Mohd Hasfyanizam Mansor, 50, dan Mohamad Fazley Jaafar, 31, dihadapkan ke mahkamah.
Seorang guru yang sepatutnya membentuk sahsiah pelajar, bersama rakannya seorang buruh, dihukum penjara lapan tahun selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang wanita tempatan untuk tujuan eksploitasi seks.
Mohd Hasfyanizam Mansor, 50, dan Mohamad Fazley Jaafar, 31, turut didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Mereka didapati bersalah selepas mahkamah menolak pembelaan dikemukakan dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu memperdagangkan seorang wanita berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dengan menyalahgunakan keadaan mangsa yang berada dalam kedudukan mudah terdedah kepada jenayah pemerdagangan orang.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar pada kira-kira jam 2.35 pagi, 11 Mac 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Peguam Mohd Shahir Mat Jusoh daripada Tetuan Ghazali & Co sebelum itu memohon hukuman minimum atas alasan kedua-dua anak guamnya merupakan ketua keluarga dan mempunyai tanggungan.
Namun, pihak pendakwaan menegaskan faktor keluarga tidak boleh dijadikan alasan untuk meringankan kesalahan yang menyentuh maruah dan keselamatan seorang wanita.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizudin Manjur Ahmad berkata status Mohd Hasfyanizam sebagai guru sepatutnya menjadi faktor yang memburukkan kesalahan, bukan alasan untuk diberikan simpati.
“Seorang guru sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, namun sebaliknya terlibat dalam perbuatan jenayah seperti ini,” katanya ketika memohon hukuman berat.
Beliau berkata hukuman tegas perlu dijatuhkan supaya kedua-dua tertuduh benar-benar menyedari kesan perbuatan mereka, selain menjadi amaran kepada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap wanita dalam keadaan terdesak atau rentan.
“Pihak pendakwaan berharap agar satu hukuman berat dijatuhkan kepada kedua-dua OKT agar mereka dapat berfikir, bermuhasabah dan menjadikan hukuman tersebut sebagai titik tolak untuk mereka berubah menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Dalam penghakimannya, Mohd Zul Zakiqudin berkata mahkamah berharap hukuman itu dapat menginsafkan kedua-dua tertuduh.
Kes ini sekali lagi membuka persoalan tentang bagaimana individu yang memegang amanah dalam masyarakat boleh terlibat dalam jenayah yang mengeksploitasi manusia.
Pemerdagangan orang bukan sekadar kesalahan jenayah, tetapi perbuatan yang merampas kebebasan, maruah dan hak mangsa demi kepentingan pihak tertentu.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Abdul Latif.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum