Had umur 16 tahun buka akaun media sosial benteng kekang trauma siber kanak-kanak: Bernama

June 2, 2026 · Isu semasa

Kanak-kanak kini semakin terdedah kepada risiko trauma siber berpanjangan berikutan peningkatan kes eksploitasi seksual dalam talian yang membabitkan ugutan, manipulasi emosi serta penyebaran berulang bahan penderaan.

Keadaan itu, sekiranya berlaku tentu sahaja memberikan kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental serta psikologi golongan berkenaan yang menjadi mangsa.

Sehubungan dengan itu, penguatkuasaan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bermula semalam, dilihat amat bertepatan bagi melindungi mereka yang berumur di bawah 16 tahun.

Pengarah Eksekutif Protect and Save the Children, Amnani Abdul Kadir, berkata langkah kerajaan itu amat tepat pada masanya kerana trend jenayah siber seperti pengantunan dalam talian, pemerasan seksual dan penstriman langsung penderaan seksual kanak-kanak semakin membimbangkan.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata hal ini berikutan taktik licik pelaku yang kerap menggunakan identiti palsu di platform media sosial serta permainan video bagi memperdaya mangsa.

Amnani berkata pemangsa dikesan sering mengkaji tingkah laku, minat dan kelemahan emosi mangsa sebelum memulakan taktik memancing menerusi interaksi yang kelihatan tidak berbahaya seperti pujian, sokongan emosi atau persahabatan.

Beliau berkongsi pada Februari lepas, organisasi itu mengendalikan kes seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi oleh penjaganya sendiri, yang memanipulasi serta memaksa mangsa menghasilkan kandungan seksual bagi tujuan penstriman langsung.

“Ramai kanak-kanak tidak menyedari mereka sedang dieksploitasi kerana proses manipulasi psikologi ini berlaku secara perlahan.

“Kesan emosi terhadap mangsa boleh menjadi sangat parah terutama apabila bahan penderaan tersebut dirakam dan disebarkan berulang kali dalam talian, sekali gus mengakibatkan trauma berpanjangan kepada mereka,” katanya.

Amnani berkata rampasan hampir 500,000 fail Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) menerusi Ops Cyber Guardian pada April lepas mencerminkan tahap eksploitasi siber terhadap kanak-kanak yang semakin kritikal di Malaysia.

Beliau menjelaskan jumlah rampasan berkenaan berkemungkinan hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kes sebenar memandangkan data global Internet Watch Foundation (IWF) turut merekodkan lebih 312,000 laporan CSAM diambil tindakan tahun lepas dengan purata bahan itu ditemukan dalam talian setiap 101 saat.

Menyentuh had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial yang ditetapkan kerajaan, Amnani berkata peraturan itu perlu melibatkan usaha memperkasakan kanak-kanak, ibu bapa dan pendidik untuk mengenal pasti risiko serta bertindak secara selamat di ruang digital.

Beliau berkata pelaksanaan sistem pengesahan umur yang lebih kukuh selain penglibatan kerajaan dalam memperketat undang-undang, meningkatkan akauntabiliti syarikat teknologi melalui pendekatan safety by design atau keselamatan melalui binaan serta memperluas pendidikan keselamatan siber di sekolah perlu dilaksanakan.

Sementara itu, Naib Pengerusi Children’s Protection Society (CPS) Malaysia, Nawiza Ariff, berkata mengehadkan akaun media sosial bagi pengguna di bawah umur 16 tahun merupakan langkah awal yang positif namun ia bukan penyelesaian menyeluruh memandangkan sekatan berasaskan umur semata-mata boleh dipintas dengan mudah oleh golongan muda yang celik teknologi.

Beliau berkata langkah berkenaan perlu disertai dengan pemerkasaan oleh ibu bapa, daripada sekadar memantau masa penggunaan skrin kepada memahami tingkah laku digital anak-anak, risiko dalam talian, tetapan privasi, fungsi komunikasi dalam platform permainan serta tanda-tanda awal gangguan emosi dialami kanak-kanak.

Nawiza berkata usaha melindungi kanak-kanak di alam siber memerlukan pendekatan yang menyeluruh, merangkumi penggubalan undang-undang yang kukuh oleh kerajaan, akauntabiliti daripada syarikat teknologi melalui prinsip keselamatan melalui binaan, penerapan pendidikan keselamatan siber di sekolah serta kempen kesedaran berterusan di peringkat kebangsaan.

“Yang paling penting, kita perlu mewujudkan persekitaran yang selamat agar kanak-kanak berani bersuara, malu atau bimbang akan dihukum. Usaha melindungi kanak-kanak di ruang siber bukan lagi sesuatu yang boleh dipilih atau diabaikan, tetapi merupakan tanggungjawab seluruh rakyat,” katanya.

Bermula semalam, Malaysia menguatkuasakan syarat pengesahan umur untuk pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial bagi memastikan individu di bawah umur 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial.

Menerusi peraturan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.

Keperluan pengesahan umur itu terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. – Bernama

Berita berkaitan
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
7 jam lalu· Isu semasa
Judi, scam: Facebook paling banyak diminta turunkan kandungan
August 18, 2026· Isu semasa
MCMC, Imigresen perkukuh kerjasama banteras jenayah rentas sempadan
August 18, 2026· Isu semasa
1,098 Pusat NADI sasar pecah rekod MBOR dalam program Senam Sihat MADANI
August 16, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
7 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
10 jam lalu · Isu semasa
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
10 jam lalu · Isu semasa
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
12 jam lalu · Isu semasa
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok