Arab Saudi mengumumkan denda akan dikenakan kepada jemaah haji tanpa permit.
Bayaran haji bagi jemaah Muassasah daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) kekal RM15,000 seorang bagi musim haji 1448H/2027M.
Kadar itu ditetapkan selepas Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) sebanyak RM18,300 atau 55 peratus daripada keseluruhan kos haji RM33,300 disalurkan kepada setiap jemaah B40.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, bantuan berkenaan turut merangkumi RM1,000 daripada kerajaan yang diteruskan untuk tahun kelima berturut-turut bagi jemaah yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama.
“Kerajaan MADANI menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama dengan mengekalkan kos haji Muassasah bagi musim 1448H/2027M pada RM33,300 seorang untuk tahun keempat berturut-turut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kumpulan M40 pula, bayaran ditetapkan RM23,500 seorang dengan HAFIS sebanyak RM9,800 atau 29 peratus daripada keseluruhan kos.
Jemaah daripada kumpulan T20 pula perlu membayar kos penuh sebanyak RM33,300 seorang.
Zulkifli berkata, TH memperuntukkan RM234 juta bagi menanggung HAFIS secara bersasar untuk musim haji akan datang.
Menurutnya, meskipun berdepan tekanan inflasi dalam sektor perkhidmatan serta kesan konflik geopolitik di Asia Barat, TH berjaya mengawal kenaikan kos menerusi tadbir urus yang cekap tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Katanya, tahap perkhidmatan TH turut mendapat pengiktirafan apabila Malaysia memenangi Anugerah Labbaytum Diamond buat kali kedua pada musim haji 2026.
“Kerajaan bersama TH akan sentiasa memantau struktur kos dari semasa ke semasa mengikut persekitaran global demi memastikan kebajikan dan kelancaran urusan duyufurrahman terus dipelihara,” katanya.
Mengulas persediaan musim haji 1448H/2027M, Zulkifli berkata persiapan awal sudah dimulakan, manakala surat tawaran haji akan dikeluarkan secara berperingkat mulai bulan ini.
Beliau turut menasihati bakal jemaah supaya membuat persediaan dari aspek kesihatan, kewangan dan ilmu pengetahuan selaras dengan konsep istito’ah atau kemampuan.
Zulkifli yakin hubungan erat antara Malaysia, TH dan Kerajaan Arab Saudi akan terus memperkukuh kerjasama serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan haji kepada jemaah negara.
Fahmi: Malaysia mahu ASEAN bersatu bendung ancaman dalam talian
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 25 sen
Anwar terkesan kehilangan juruterbang Zainol Afiq dalam nahas
Helikopter terhempas, Jemaah Menteri sampaikan takziah kepada keluarga lima mangsa
Undang dakwa proklamasi turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum