Kementerian Kewangan (MOF).
Hutang isi rumah di Malaysia mencecah RM1.73 trilion setakat akhir Mac lalu, bersamaan 84.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), namun kerajaan memberi jaminan kedudukan kewangan isi rumah masih berada pada tahap yang terkawal.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau tahap keberhutangan isi rumah, keupayaan pembayaran balik pinjaman serta perkembangan ekonomi bagi memastikan rakyat mampu menghadapi sebarang kejutan ekonomi global.
“kerajaan dengan sokongan Bank Negara Malaysia sentiasa memantau tahap keberhutangan isi rumah, keupayaan pembayaran balik pinjaman dan perkembangan ekonomi secara menyeluruh bagi memastikan rakyat Malaysia mampu berdepan sebarang kejutan ekonomi global,” menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen itu dibuat bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai penilaian kerajaan terhadap ketahanan kewangan rakyat dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi global.
MOF menjelaskan nisbah pinjaman isi rumah terjejas kekal stabil pada paras rendah iaitu satu peratus setakat akhir Disember 2025 berbanding 1.1 peratus pada Jun tahun sama.
Selain itu, petunjuk keupayaan pembayaran balik pinjaman juga menunjukkan prestasi yang kukuh apabila nisbah khidmat hutang (Debt Service Ratio, DSR) median bagi pinjaman isi rumah sedia ada berada pada 33 peratus.
Menurut kementerian itu, pertumbuhan hutang isi rumah turut disokong oleh peningkatan pendapatan rakyat dengan nisbah median hutang kepada pendapatan kekal stabil pada kadar 1.3 kali.
“Secara keseluruhannya, isi rumah masih mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk memenuhi obligasi pembayaran hutang masing-masing,” menurut MOF lagi.
Bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi sebahagian peminjam susulan konflik di Asia Barat, kerajaan berkata sistem perbankan terus menawarkan bantuan pembayaran balik secara bersasar.
Antara bentuk bantuan yang disediakan ialah penstrukturan semula pinjaman, penjadualan semula bayaran serta moratorium sementara kepada peminjam yang layak.
MOF berkata pendekatan itu selaras dengan penilaian BNM bahawa impak ekonomi akibat konflik berbeza mengikut keadaan setiap peminjam, sekali gus memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan kestabilan sistem kewangan.
Kementerian itu turut menggalakkan individu dan perniagaan yang berdepan kesukaran kewangan supaya segera berunding dengan institusi perbankan masing-masing bagi mendapatkan penyelesaian yang bersesuaian.
Hutang isi rumah Malaysia sebahagian besarnya terdiri daripada pinjaman perumahan, pembiayaan kenderaan, pinjaman peribadi, kad kredit serta pembiayaan bagi tujuan pelaburan.
Kerajaan dan BNM secara berkala memantau trend keberhutangan bagi memastikan pertumbuhan pinjaman kekal seiring dengan peningkatan pendapatan serta kemampuan pembayaran balik rakyat.
PRN NS: Waspada maklumat palsu menjelang hari pengundian
Malaysia kini hanya 7.1 peratus lagi ke status negara berpendapatan tinggi
38 Pusat undi awal PRN Negeri Sembilan ditutup
560 kes kandungan memudaratkan berjaya diselesaikan MCMC
SPRM jejak dokumen pelaburan KWAP di tiga negara
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat