Hutan kerajaan.
Kerajaan melihat keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi fiskal bagi mengurangkan defisit fiskal dan jumlah pinjaman tahunan susulan peningkatan ketara beban hutang negara sejak pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, nisbah bayaran khidmat hutang kepada hasil kerajaan meningkat kepada 16 peratus menjelang akhir 2025 berbanding 12.5 peratus pada 2019, kesan langsung daripada lonjakan hutang antara 2020 hingga 2022 bagi membiayai pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.
Menurut beliau, hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 36 peratus kepada RM286.6 bilion dalam tempoh berkenaan, manakala nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik daripada 52.4 peratus pada 2019 kepada 60.2 peratus pada 2022.
Situasi ini, katanya, memerlukan pendekatan lebih mampan untuk memastikan kedudukan fiskal negara kekal stabil dalam jangka panjang.
“Melalui usaha reformasi dan konsolidasi fiskal serta pengurusan hutang yang berhemah, kerajaan berjaya mengurangkan pinjaman baharu daripada RM100 bilion pada 2021 kepada anggaran RM75 bilion pada 2025, dan sasaran seterusnya adalah untuk menurunkannya lagi pada 2026,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan, langkah tersebut mula menunjukkan hasil apabila pertumbuhan bayaran khidmat hutang dapat dikawal, dengan nisbah menurun daripada 12.3 peratus pada 2023 kepada 9 peratus pada 2024 dan seterusnya 6.4 peratus pada 2025.
Isu pengurusan hutang menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pandemik memaksa kerajaan meningkatkan perbelanjaan bagi melindungi rakyat dan ekonomi.
Dalam konteks itu, Chin Tong berkata kerajaan kini memberi fokus kepada konsolidasi fiskal secara berperingkat, memperluas asas hasil melalui penambahbaikan cukai jualan dan perkhidmatan serta pelaksanaan e-invois, di samping mengoptimumkan perbelanjaan awam termasuk penyasaran subsidi.
“Pinjaman kerajaan akan terus difokuskan kepada projek pembangunan yang memberi pulangan jangka panjang kepada negara dan rakyat,” katanya, sambil menegaskan pendekatan berdisiplin ini penting untuk memastikan kewangan negara lebih sihat dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Jerebu: Agong titah sekolah tutup jika IPU 150 hingga 180
Anwar hubungi Prabowo, ASEAN digerakkan tangani jerebu
MCMC siasat dakwaan AI hasilkan video seksual libat guru, pelajar
Kandungan palsu berhubung dua kematian pelajar, MCMC ambil tindakan
Anwar, Presiden Myanmar adakan pertemuan empat mata: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum