Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan memberi komitmen untuk memastikan pembangunan internet negara bukan sahaja pantas dan mampu milik, malah selamat untuk semua lapisan masyarakat, kata Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi berkata, tanggungjawab mengurus ekosistem digital bukan sekadar soal infrastruktur, tetapi juga melibatkan perlindungan pengguna daripada ancaman jenayah siber dan penyalahgunaan teknologi.
“Saya tidak mahu meninggalkan satu legasi di mana internetnya laju, internetnya murah, tapi internetnya tidak selamat,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Internet Selamat di Tasik Titiwangsa hari ini.
Menurut Fahmi, kerajaan telah mengambil beberapa langkah sukar termasuk meminda dan menggubal undang-undang berkaitan komunikasi digital.
Antaranya pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk menekan pengkritik, sambil mengekalkan tindakan tegas terhadap penyebaran fitnah dan ancaman keselamatan awam.
“Hak bersuara bukan hak untuk memfitnah atau memecah belahkan masyarakat,” jelasnya, sambil menambah pindaan itu bertujuan mencapai keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keselamatan awam.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut meneliti langkah beberapa negara seperti Australia dan negara Eropah yang mula mengehadkan penggunaan media sosial bagi individu bawah umur 16 tahun.
Langkah ini dilihat penting bagi melindungi golongan muda daripada eksploitasi data, penyalahgunaan gambar serta ancaman jenayah dalam talian.
Malaysia kini bergerak ke arah pendekatan serupa bersama beberapa negara Asia Tenggara lain.
Sambutan Hari Internet Selamat tahun ini turut memberi penekanan kepada peranan ibu bapa dalam melindungi anak-anak di alam digital.
Fahmi menegaskan kebanyakan peranti dan langganan internet dibeli oleh ibu bapa, justeru kawalan penggunaan juga perlu datang daripada mereka.
“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa perlu ambil kawalan,” katanya.
Hari Internet Selamat disambut setiap tahun di banyak negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber, literasi digital dan penggunaan internet secara bertanggungjawab, selari dengan peningkatan penggunaan teknologi dalam kehidupan harian rakyat.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Anwar berlepas ke Rusia sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar