Kes bunuh.
Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas dipercayai ditikam 13 kali oleh suaminya susulan pertengkaran di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Syamsul Sinring berkata, mangsa dibawa keluarganya ke Hospital Kulim sebelum disahkan meninggal dunia pada kira-kira 9.30 malam.
Menurutnya, suspek berusia 43 tahun dan tidak bekerja hadir ke Balai Polis Lunas pada 8.40 malam untuk memaklumkan perbuatannya kepada polis.
“Suspek memaklumkan dia telah menikam isterinya sebanyak 13 kali di rumah mereka sebelum menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di bilik tidur utama rumah teres setingkat yang didiami pasangan itu bersama anak mereka berusia tiga tahun.
Syamsul berkata, pertengkaran antara suspek dan mangsa dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil dan beberapa barangan di atas katil. Sebanyak 11 sampel berkaitan kejadian turut diambil untuk siasatan,” katanya.
Beliau berkata suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali, dengan tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.
Selepas kejadian, suspek dipercayai mandi sebelum mengambil anaknya daripada pengasuh. Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada kakaknya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.
“Suspek turut memberitahu kakaknya dia telah menikam isterinya sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,” katanya.
Suspek ditahan kira-kira 9 malam dan polis merampas sebilah pisau lipat berukuran 20 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Gempa Batu Pahat, gegaran dirasai di enam kawasan sehingga ke Putrajaya
Anwar sampaikan keresahan keluarga mangsa masih hilang kepada PM Nepal: Bernama
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum