Jalaluddin Alias.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau merancang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ismail Lasim bagi menggugat kedudukan kepimpinan kerajaan negeri.
Sebaliknya, beliau menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan, apatah lagi dipersetujui dalam mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang berlangsung di Wisma UMNO negeri hari ini mencapai kesepakatan untuk menolak sebarang persepsi mengenai perpecahan atau kewujudan kem tertentu dalam kalangan wakil rakyat BN.
“Awak ada dengar ke saya nak menjatuhkan Menteri Besar? Tidak ada. Saya sudah jelaskan dalam mesyuarat tadi.
“Sampai pagi ini masih ada kata-kata mengatakan hari ini kami akan membuat keputusan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, sedangkan perkara itu tidak ada. Tolonglah hentikan,” katanya dipetik laporan media.
Mengulas dakwaan wujud kem tertentu yang dikaitkan dengan dirinya dan Ismail, Jalaluddin berkata semua wakil rakyat perlu mengetepikan persepsi sedemikian dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing.
Katanya, tiada keperluan untuk pemimpin kerajaan negeri saling berbalah kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran berjalan lancar serta kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita melihat pemimpin kita, wakil-wakil kita berlaga antara satu dengan lain. Kita harus memberikan sokongan dan pandangan bagaimana untuk kita terus bergerak supaya negeri dan rakyat terus diurus tadbir,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jalaluddin menjelaskan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum ini adalah atas titah baginda dan beliau sentiasa bersedia menghadap apabila diperkenankan.
“Dalam apa keadaan sekalipun, sebagai ketua parti, apabila saya dititah menghadap oleh Tuanku saya akan patuh. Apatah lagi sebagai rakyat, apabila dititah menghadap oleh Raja saya,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak memainkan peranan ke arah penyatuan bagi membolehkan kemelut politik negeri itu diselesaikan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Jalaluddin berkata beliau tidak mengetahui mengenai pertemuan dua ADUN Perikatan Nasional (PN) dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar semalam.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada wakil rakyat BN terlibat dalam pertemuan tersebut.
Puad persoal masa depan Bersatu tanpa Muhyiddin dan PAS
DAP cadang PRN Pulau Pinang diadakan serentak dengan PRU
DAP mahu undang-undang baharu ganti Akta Hasutan: Gobind
Prestasi Loke baik, Anwar mahu Loke kembali bertugas segera
PRN Sarawak: GPS kuasai 29 kerusi tanpa bertanding
[VIDEO] 13 platform e-dagang sepakat banteras jualan barangan terlarang
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib