Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Ipoh, hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan perpaduan antara kaum kerana kemerdekaan Malaysia tidak mungkin dicapai tanpa pengorbanan dan kerjasama semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata kekuatan orang Melayu sebagai teras pembinaan negara perlu digandingkan dengan sumbangan masyarakat Cina, India serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak bagi memastikan Malaysia terus kekal aman, stabil dan maju.
“Mahu memberi makna kepada kemerdekaan dan menjayakan negara ini, kekuatan Melayu harus ada. Kekuatan Melayu bersama Cina, India, Dayak dan Kadazan juga harus ada. Jangan izinkan sesiapa memperkotak-katik serta memecahbelahkan kita kerana negara ini merdeka hasil kekuatan semua rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Ipoh, hari ini.
Anwar turut menggesa generasi muda memahami sejarah kemerdekaan negara dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen perkauman atau hasutan politik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Menurutnya, semangat perpaduan turut menjadi asas kepada moto “Bersekutu Bertambah Mutu” yang diperkenalkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, sebagai simbol kekuatan negara yang dibina atas kerjasama pelbagai kaum.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan perpaduan perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, bukannya disalahgunakan demi kepentingan kelompok tertentu.
Beliau turut menyelitkan analogi filem klasik *Ali Baba Bujang Lapok* arahan P. Ramlee bagi mengingatkan rakyat supaya tidak menggunakan semangat muafakat untuk melakukan penyelewengan atau merompak kekayaan negara.
“Bersatu untuk meningkatkan mutu kehidupan, bukan bersatu untuk merompak, mencuri balak atau harta negara. Dalam negara MADANI, kita mahu perpaduan membawa negara maju menerusi kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan teknologi baharu,” katanya.
Anwar turut memuji perkembangan ekonomi Perak yang sedang berubah daripada negeri berasaskan perlombongan bijih timah kepada hab industri pembuatan kenderaan serta teknologi hijau.
Katanya, kemajuan teknologi tidak bermakna sektor tradisional seperti pertanian akan dipinggirkan, sebaliknya semua sektor perlu berkembang secara seimbang bagi menjamin kemakmuran negara.
Beliau turut menyentuh kejayaan kerajaan mengurus kewangan negara sehingga Malaysia masih mampu menawarkan harga runcit RON95 dan diesel antara yang terendah di dunia walaupun bukan pengeluar petroleum utama.
Menurutnya, hasil kekayaan negara akan terus diagihkan secara adil menerusi pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat.
Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang merupakan acara tahunan yang menandakan bermulanya sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Program itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.
Ulama tampil bincang RCI Tabung Haji, gesa amanah pendeposit dibela
1,098 Pusat NADI sasar pecah rekod MBOR dalam program Senam Sihat MADANI
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
Doktor terpedaya pelaburan online, rugi RM558,000
Anak nafi dakwaan tular Abdul Azeez ditahan SPRM
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri