Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Angkatan Belia Islam Malaysia (Angkatan Belia Islam Malaysia) menyifatkan kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina mana-mana agama, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia yang berteraskan prinsip saling menghormati.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, setiap hak perlu datang bersama tanggungjawab.
“ABIM mengecam sekeras-kerasnya tindakan memuat naik gambar memijak al-Quran yang telah mencetuskan kemarahan dan kegusaran dalam kalangan umat Islam. Lebih mendukacitakan, insiden ini berlaku dalam Ramadan, bulan yang dimuliakan sebagai bulan turunnya al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu berkenaan tercetus selepas seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan pada 25 Februari lalu bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam menerusi media sosial.
Setakat semalam, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes tersebut.
Ahmad Fahmi menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak beradab dan melampaui batas kebebasan bersuara, malah berpotensi menggugat keharmonian antara kaum dan agama.
Menurutnya, penghinaan terhadap mana-mana agama mesti disiasat dan diambil tindakan berdasarkan undang-undang secara adil dan telus.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasi isu berkenaan demi kepentingan politik atau meniup sentimen perkauman.
Pada masa sama, umat Islam juga diingatkan supaya tidak bertindak di luar kerangka undang-undang.
“Ramadan mengajar kita disiplin diri dan kawalan emosi. Mempertahankan maruah agama mesti dilakukan melalui saluran yang sah, beradab dan berhemah,” katanya lagi.
Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama telah lama mengekalkan keharmonian melalui Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama serta kebebasan bersuara, namun tertakluk kepada batas undang-undang.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menekankan keperluan memperkukuh pendidikan literasi agama dan kenegaraan agar masyarakat lebih memahami sensitiviti simbol serta amalan keagamaan.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib