Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan DAP supaya tidak “menunjuk taring” dengan mengugut untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) susulan kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Hassan berkata, pendekatan sedemikian adalah satu kesilapan besar dan tidak adil apabila DAP yang tewas cuba menyalahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atau PKR atas keputusan pilihan raya tersebut.
Menurutnya, kekalahan adalah tanggungjawab bersama dalam gabungan.
“DAP jangan tunjuk taring, jangan tunjuk kuku. Kita masih saling memerlukan dalam PH. Tak elok ugut-ugut walaupun bahasanya nampak cantik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota polis yang terlibat kemalangan di Bandar Seri Alam, hari ini.
Beliau menegaskan DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan dan Kabinet ketika ini yang turut dianggotai menteri daripada UMNO dan Warisan.
“Kalau kalah di Sabah, jangan salahkan Perdana Menteri semata-mata. PKR pun kalah. Ini tanggungjawab bersama,” katanya.
Hassan turut mengingatkan DAP agar tidak menjadikan PH seperti ‘habis madu sepah dibuang’ dengan meninggalkan gabungan apabila peluang menang dilihat semakin sukar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Katanya, sejarah menunjukkan DAP pernah beberapa kali keluar daripada gabungan politik selepas gagal membentuk kerajaan.
Beliau mengimbas pengalaman DAP meninggalkan Gagasan Rakyat pada awal 1990-an, keluar Barisan Alternatif selepas pilihan raya 1999 dan 2004, serta keluar Pakatan Rakyat sebelum penubuhan PH pada 2015.
“DAP menyertai gabungan apabila nampak peluang menang. Bila keadaan berubah, jangan terus angkat kaki,” ujarnya.
Menurut Hassan, PKR kekal sebagai parti yang konsisten dalam PH sejak awal.
“Kalau mahu kerajaan berbilang kaum, kita kena kekal bersama PH dan PKR. Kalau DAP silap langkah, tidak mustahil kuasa politik akan dikuasai sepenuhnya oleh gabungan parti Melayu dan DAP hanya jadi pembangkang,” katanya.
Dalam PRN Sabah pada 29 November lalu, PH hanya memenangi satu kerusi iaitu Melalap melalui calon PKR, Jamawi Ja’afar, manakala DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi.
Susulan keputusan itu, DAP memberi tempoh enam bulan kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan institusi, dengan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, menyatakan parti itu akan menilai semula kedudukan dalam Kabinet jika tuntutan tidak dipenuhi, namun kekal menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
Kerjasama PH-BN mesti atas dasar hormat, bukan untung sebelah pihak: AMK
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri