Saifuddin Nasution Ismail.
Siasatan terhadap sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai laluan pengedaran kini diperluaskan, termasuk meneliti kemungkinan penglibatan individu berprofil tinggi yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan sindiket besar yang menjana keuntungan lumayan.
Menurutnya, walaupun operasi risikan bermula awal tahun ini, pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan anggota serta operasi penerbangan tentera.
“Saya beri jaminan, siapa pun yang ke depan ini beberapa hari kita akan tangkap, dia takkan terlepas. Apa pun jawatan dia, apa pun kedudukan dia,” katanya ketika menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, siasatan turut diperluaskan bagi mengenal pasti keseluruhan struktur sindiket, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan individu yang bertindak sebagai orang tengah.
“Kita luaskan siasatan untuk kenal pasti penglibatan seluruh organisasi ini dan peranan setiap individu yang terlibat. Siapa pembiayanya, siapa perancangnya, siapa berperanan sebagai transporter, siapa yang jadi runner dan semuanya,” katanya.
Saifuddin turut memaklumkan ketua sindiket masih bebas, namun identiti suspek utama sudah dikenal pasti dan pihak berkuasa yakin individu berkenaan akan diberkas.
Kes itu terbongkar selepas pemeriksaan rutin di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor menemukan dadah yang disembunyikan dalam lima bagasi dan sebuah kotak sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM.
Sebanyak 96.64 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM4.83 juta dirampas dalam operasi berkenaan.
Setakat ini, 13 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam. Laporan sebelum ini turut menyebut seorang juruterbang TUDM dipercayai berperanan membawa bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah menggunakan aset tentera.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin mendedahkan risikan pihak berkuasa turut mengesan tujuh transaksi penyeludupan dadah membabitkan sel sindiket di Tawau dengan jumlah rampasan 1.8 tan bernilai RM93 juta.
Bagi sel Labuan pula, sebanyak 14 transaksi dikesan sejak Ogos 2024, membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta sebelum kegiatan itu berjaya dilumpuhkan.
Pendedahan itu menunjukkan kegiatan penyeludupan berkenaan bukan sekadar melibatkan penggunaan kemudahan ketenteraan, sebaliknya dipercayai mempunyai rangkaian operasi lebih luas yang menghubungkan beberapa lokasi di Sabah dengan pasaran antarabangsa.
Lebih 40,000 kandungan buli diturunkan, 55 kandungan jelik libatkan kanak-kanak
99.5 peratus sekolah seluruh negara sudah diliputi rangkaian 4G
Kerajaan teliti had umur penggunaan platform permainan dalam talian
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib