Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Detik bersejarah tercatat hari ini dengan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11 Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), membuka lembaran baharu untuk kerjasama dan perpaduan yang lebih kukuh di rantau ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyifatkan penyertaan tersebut sebagai satu langkah signifikan yang memperkukuh pertumbuhan dan integrasi blok serantau itu. Beliau berkata, perkembangan itu amat membanggakan buat Malaysia dan seluruh komuniti ASEAN.
“Malaysia berbangga dapat menyaksikan detik bersejarah ini – kemasukan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN, ketika komuniti ASEAN terus berkembang,” ujar Fahmi ketika melawat Pusat Media Antarabangsa hari ini.
“Bagi pihak Kementerian Komunikasi Malaysia, ini adalah satu pencapaian besar yang membuka jalan ke arah hubungan kerjasama yang lebih mendalam,” tambahnya.
Di samping itu, Fahmi menyatakan rasa besar hati Malaysia kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kepada lebih 2,900 wakil media dari seluruh dunia yang hadir bagi membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Kami berharap sidang kemuncak ini berjalan lancar. Ini permulaan yang sangat baik dan sememangnya satu detik bersejarah bagi rantau ini,” katanya, sambil mengalu-alukan kehadiran mereka.
Turut mendapat perhatian ialah Kuala Lumpur Accord, iaitu perjanjian damai bersejarah antara Thailand dan Kemboja yang dijangka ditandatangani tidak lama lagi.
Mengenai perkara itu, Fahmi memaklumkan butiran penuh akan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri selepas upacara tandatangan selesai diadakan.
“Majlis tandatangan itu diawalkan atas permintaan Perdana Menteri Thailand,” jelasnya.
Kemasukan Timor-Leste ini dijangka bukan sahaja mengukuhkan lagi blok serantau itu, malah menjadi pemangkin kepada era baharu kerjasama ekonomi dan politik yang lebih mantap untuk semua pihak.
KDN buru individu berprofil tinggi dalam sindiket dadah TUDM
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib