Keputusan rayuan kes hasutan Papagomo 31 Julai

July 21, 2026 · Isu semasa

Pihak pendakwaan menegaskan pertuduhan hasutan terhadap blogger Papagomo tidak cacat di sisi undang-undang meskipun pengadu menarik balik laporan polis, ketika Mahkamah Tinggi mendengar rayuan terhadap pembebasannya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berkata Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan hanya kerana memberi penekanan terhadap tindakan pengadu menarik balik laporan polis.

Beliau berhujah keputusan meneruskan pendakwaan adalah bidang kuasa Peguam Negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah, justeru mahkamah tidak boleh mengetepikan keputusan itu.

“Mahkamah tidak boleh mengetepikan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah yang memutuskan untuk meneruskan pendakwaan ke atas responden,” katanya.

Mohamad Mustaffa yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan turut menegaskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan Papagomo mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan berdasarkan keterangan saksi-saksi yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Beliau berkata, keterangan pengadu, Hisham Shaharudin tidak pernah dipadam atau diketepikan melalui prosiding mencabar kredibiliti saksi, walaupun laporan polis ditarik balik selepas saksi itu selesai memberi keterangan di mahkamah.

“Pengadu menarik balik laporan polisnya selepas selesai memberikan keterangan di mahkamah.

“Adakah ini bermakna kes pendakwaan secara automatik gagal serta wajar diberikan pelepasan dan pembebasan?,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mengarahkan Papagomo dipanggil membela diri.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah pihak pendakwaan gagal membuktikan kenyataan anak guamnya memenuhi elemen kesalahan menghasut seperti diperuntukkan di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurutnya, Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang tepat berdasarkan keterangan saksi serta peruntukan undang-undang semasa dan tidak ada alasan untuk Mahkamah Tinggi campur tangan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menetapkan 31 Julai untuk menyampaikan keputusan rayuan.

Pada 3 September tahun lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pada 8 Januari 2024, beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan kerajaan sebagai pro-Israel dan negara Barat menerusi akaun Facebook “Halid Hamidi (Halid Mat Kool)”.

Kenyataan itu didakwa dilihat oleh seorang individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, pada jam 1 tengah hari, 8 November 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Fitnah projek kasino: Chegubard tak layak bertanding selepas didenda RM5,000
July 10, 2026· Politik
Seleweng 5,808 liter diesel, lelaki Myanmar dipenjara enam bulan
July 8, 2026· Isu semasa
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
June 24, 2026· Isu semasa
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
June 16, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
16 jam lalu · Isu semasa
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
19 jam lalu · Isu semasa
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
20 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
22 jam lalu · Isu semasa
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
July 24, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
13 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok