Platform media sosial kini diwajibkan membuat pengesahan umur.
Kerajaan merancang mewajibkan semua pengiklan yang menggunakan iklan berbayar di media sosial mengesahkan identiti mereka bagi mengekang penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata langkah itu akan dilaksanakan menerusi Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa esok.
Menurut beliau, peraturan baharu itu akan dikenakan terhadap platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia dan diklasifikasikan sebagai pemegang lesen.
“Kita banyak melihat sponsored post menggunakan wajah individu terkenal untuk kandungan pelaburan meragukan, penipuan kewangan serta perjudian dalam talian.
“Setakat ini sukar untuk diambil tindakan kerana kita tidak tahu siapa sebenarnya yang membayar iklan tersebut,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka bagi DUN Banda Hilir di Taman Kota Laksamana Cheng Ho, hari ini.
Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mewajibkan setiap pengiklan, sama ada individu atau syarikat, melalui proses pengesahan identiti sebelum dibenarkan menyiarkan iklan berbayar di platform media sosial.
Menurutnya, langkah itu penting kerana kegiatan penipuan digital kini semakin canggih, termasuk penggunaan wajah tokoh terkenal tanpa kebenaran untuk memperdaya pengguna Internet.
Kebelakangan ini, media sosial menjadi medium utama sindiket penipuan mempromosikan skim pelaburan palsu, perjudian dalam talian dan tawaran kewangan meragukan.
Ramai pengguna terpedaya selepas melihat iklan yang memaparkan imej selebriti, ahli politik atau tokoh korporat terkenal seolah-olah menyokong produk berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Nie Ching berkata, semua platform media sosial turut diminta memberikan kerjasama penuh bagi mematuhi Kod Pengurangan Risiko serta Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang juga mula dikuatkuasakan esok.
Beliau turut menyentuh mengenai mekanisme pengesahan umur bagi menghalang individu bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial tanpa kawalan.
Katanya, dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport akan digunakan untuk tujuan pengesahan ketika pendaftaran akaun.
“Memang ibu bapa sangat menyokong kerana mereka faham Internet ini mempunyai banyak isu seperti buli siber, penderaan seksual dan child grooming yang menjadi kebimbangan utama,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan memberi tempoh munasabah kepada platform media sosial untuk menyesuaikan sistem masing-masing dengan keperluan baharu itu, namun tahap pematuhan yang tinggi amat diharapkan demi memastikan keselamatan pengguna Internet di negara ini.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri