Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan akan terus berusaha membantu syarikat media tempatan yang berdepan tekanan ekonomi sehingga terpaksa mengurangkan tenaga kerja, termasuk dalam kalangan pengamal media.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, cabaran ekonomi yang semakin meruncing dalam industri media perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada kelangsungan operasi organisasi media dan kebajikan pekerja.
Menurut beliau, antara punca utama tekanan yang dihadapi syarikat media ialah ketidakseimbangan dalam pengagihan hasil pendapatan digital, apabila kandungan yang dihasilkan media arus perdana digunakan secara meluas di platform media sosial tanpa pulangan yang setimpal.
“Antara perkara yang paling mencabar pada ketika ini ialah isu ekonomi yang memberi tekanan besar kepada syarikat-syarikat media. Ini berlaku apabila platform-platform media sosial tidak membantu memberi imbuhan atau bayaran yang setimpal dengan jumlah kandungan yang disiar.
“Jumlah tontonan dan pembaca yang mendapatkan maklumat yang dijana oleh media arus perdana amat besar, tetapi kandungan itu akhirnya berada di platform media sosial tanpa pulangan yang sewajarnya kepada organisasi media,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Komunikasi dan Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Seberang Perai, hari ini.
Fahmi turut berharap Majlis Media Malaysia (MMM) dapat memainkan peranan lebih aktif dengan mengadakan perbincangan bersama syarikat pengendali platform media sosial bagi mencari mekanisme yang lebih adil untuk industri media.
Katanya, kerajaan bersedia membantu memudah cara perbincangan tersebut, terutama dalam menangani isu penyebaran maklumat tidak beretika dan berita palsu yang semakin membimbangkan.
“Di pihak media, laporan dilakukan secara beretika mengikut garis panduan kewartawanan. Namun ada kandungan yang dicuri atau dimuat naik oleh individu di lokasi kejadian yang tidak mematuhi standard kewartawanan.
“Kita harap ada perbincangan yang konstruktif dan saya akan panjangkan hasrat ini kepada platform-platform media sosial,” katanya.
Mengulas isu pemberhentian pekerja dalam sektor media, Fahmi berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pihak pengurusan syarikat sebelum sebarang keputusan besar dibuat.
“Nak buat apa-apa yang melibatkan pekerja, datang jumpa saya dan saya tengok bagaimana saya boleh bantu. Kalau syarikat telekomunikasi yang besar pun kita bantu, apatah lagi rakan-rakan media yang begitu komited dalam bidang ini.
“Beritahu kepada saya lebih awal. Jangan esok nak umum pemberhentian pekerja, hari ini baru nak maklumkan,” katanya.
Industri media tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan perubahan besar susulan peralihan pengguna kepada platform digital dan media sosial.
Keadaan itu menyebabkan banyak organisasi media kehilangan sebahagian besar pendapatan iklan tradisional, sekali gus memberi tekanan terhadap operasi dan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.
Masjid Warisan TRX diteruskan, Menteri Agama beri jaminan
FINAS bawa 11 syarikat tempatan ke festival animasi dunia
Iran pelawa Malaysia teroka kerjasama bekalan minyak: Laporan
KPDN jelaskan status sebenar Madani Mart: Armizan
SPRM arah pegawai kemas kini harta, perkukuh integriti dalaman: Azalina
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar