Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan larangan keras terhadap sebarang penganjuran pesta arak atau aktiviti yang bercanggah dengan nilai pendidikan di kawasan sekolah, termasuk selepas waktu persekolahan.
Langkah tegas itu diambil berikutan laporan mengenai pesta arak yang dianjurkan di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak, pada 27 September lalu.
Beliau menekankan bsekolah adalah institusi suci untuk mendidik dan memupuk nilai murni, bukan tempat untuk aktiviti yang tidak selari dengan falsafah pendidikan negara.
“Suasana sekolah mesti dijaga… walaupun selepas waktu persekolahan, dewan sekolah tidak seharusnya digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan,” tegas Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan di Dewan Rakyat.
“Aktiviti seperti arak atau perjudian bukan mendidik anak-anak dan bercanggah dengan konsep serta falsafah pendidikan kita,” tambahnya.
Isu buli di sekolah sering mendapat perhatian, namun ancaman terhadap persekitaran pembelajaran yang selamat dan sihat juga datang daripada aktiviti yang tidak sesuai seperti pesta arak.
Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif untuk melindungi integriti sekolah sebagai zon bebas daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan pembangunan sahsiah pelajar.
Anwar menegaskan larangan ini bukan bertujuan menafikan hak mana-mana pihak, tetapi untuk menjaga nilai sejagat yang perlu dihormati semua kaum.
“Kita mahu semua pihak, termasuk bukan Islam, memahami bahawa sekolah adalah tempat mendidik ilmu dan nilai. Bukan untuk pesta arak atau kegiatan yang menyalahi peraturan,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan sedang mempertimbangkan untuk memperketat garis panduan sedia ada bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan.
Prinsip melarang aktiviti berunsur arak di sekolah kerajaan, kata Anwar, adalah mutlak dan tidak boleh dikompromi.
Mufti Wilayah ingatkan bahaya istilah ‘menunggang agama’
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum