
Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar di bawah umur 16 tahun di sekolah.
Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar di bawah umur 16 tahun di sekolah, sebagai langkah menangani isu disiplin yang semakin membimbangkan, termasuk kes buli yang serius dan insiden keganasan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menekankan kebimbangan ini menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya, berikutan desakan masyarakat termasuk ibu bapa dan pelajar sendiri.
“Pengaruh media sosial dan permainan dalam talian kadangkala membawa kepada tindakan luar jangka oleh pelajar.
“Langkah ini telah dilaksanakan di beberapa negara dan kita sedang kaji model yang sesuai untuk negara ini,” kata Anwar selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling hari ini.
Beliau turut mengakui isu buli berterusan dan insiden pelajar menyerang guru menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh dan tegas.
“Ini bukan soal sekadar tindakan disiplin, tetapi kita mahu mengangkat semula nilai dan akhlak dalam sistem pendidikan kita,” tegasnya.
Sebagai langkah segera, kerajaan akan memperkukuh aspek keselamatan sekolah dengan kerjasama pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Pemantauan keselamatan di sekolah tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata. Pihak polis dan KDN akan memainkan peranan yang lebih aktif,” ujar Anwar.
Selain itu, kerajaan juga akan meneliti semula kandungan pendidikan, termasuk di sekolah tahfiz, bagi memastikan ia selari dengan nilai-nilai murni dan tidak tercemar dengan fahaman tertentu yang boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar.
Anwar menegaskan sebarang tindakan memerlukan penelitian mendalam dan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.
Beliau menjangkakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, akan memberikan kenyataan terperinci tidak lama lagi berhubung langkah-langkah ini, termasuk proses libat urus dengan pihak sekolah, PIBG dan komuniti.
“Saya harap semua pihak termasuk guru besar, pengetua, guru dan ibu bapa dapat memberikan kerjasama sepenuhnya. Kadangkala masalah timbul kerana salah faham atau keutamaan yang tidak selari,” katanya.