Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan sedang memperhalusi cadangan penetapan harga lantai atau harga minimum bagi perkhidmatan kurier melalui satu kajian komprehensif yang merangkumi audit kos dan struktur harga industri.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan untuk melaksanakan harga lantai secara mandatori perlu wajar untuk industri, memastikan kelangsungan operasi syarikat kurier, dan pada masa sama tidak membebankan pengguna dengan implikasi kos yang tinggi.
“Pendekatan ini bagi memastikan industri kurier terus dapat beroperasi secara mampan serta mengambil kira implikasi kos kepada pengguna-pengguna perkhidmatan kurier,” jelas beliau dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat.
Bagi mengekalkan persaingan sihat dan kualiti perkhidmatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperkenalkan Garis Panduan Harga Rujukan.
Garis panduan ini berfungsi sebagai rujukan kepada pemegang lesen untuk mengelakkan amalan ‘predatory pricing’ atau harga pemangsa yang boleh menjejaskan kelangsungan syarikat kecil dan sederhana.
“Garis Panduan Harga Rujukan ini bukanlah harga minimum yang mandatori, sebaliknya berfungsi sebagai panduan rujukan harga bagi pemegang lesen,” katanya lagi.
Beliau menambah penetapan kadar harga akhir tetap ditetapkan oleh industri berdasarkan kos operasi efisien, selaras dengan Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Isu ini mendapat perhatian berikutan kebimbangan yang dibangkitkan di Parlimen mengenai ketidakseimbangan pasaran dan amalan harga pemangsa oleh syarikat besar, yang menawarkan harga serendah RM2 hingga RM3 untuk penghantaran yang dianggarkan berkos RM2.50, sekali gus memberi tekanan kepada syarikat tempatan.
Sementara itu, sehingga 15 Oktober lalu, MCMC telah melesenkan 102 syarikat kurier, dengan 15 daripadanya menguasai 98 peratus jumlah bungkusan di negara ini.
Daripada jumlah tersebut, 21 syarikat adalah antarabangsa manakala 81 lagi adalah syarikat tempatan.
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum