Penubuhan majlis ini dilihat sebagai kesinambungan usaha kerajaan dalam memperbaiki pengurusan bencana.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta untuk membantu mangsa bencana alam yang melanda negeri Sabah, susulan insiden banjir dan tanah runtuh yang teruk.
Peruntukan segera itu akan disalurkan terus kepada mangsa yang terjejas melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas.
“Selain daripada peruntukan sebanyak RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui NADMA bagi disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan,” jelas Anwar dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir dibela sebaiknya.
“Kerajaan Madani akan memastikan setiap keluarga yang terkesan untuk segera menerima bantuan,” tegasnya sambil menyeru semua pihak berganding bahu membantu rakyat Sabah yang sedang berdepan ujian getir.
Menurut laporan NADMA pada 15 September, seramai 751 mangsa daripada 216 keluarga kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara di enam daerah termasuk Tenom, Nabawan, Keningau, Sook, Beaufort dan Sipitang. Secara kumulatif, jumlah mangsa banjir di Sabah sejak 1 September lalu telah mencecah 1,112 orang.
Bencana ini turut meragut nyawa seorang warga emas yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang. Beberapa kejadian tanah runtuh lain turut dilaporkan di Kota Kinabalu dan Papar, menyebabkan 26 jalan utama dan kecil masih ditutup.
Selain itu, gangguan bekalan elektrik dan air turut melanda beberapa daerah, menjejaskan hampir 230,000 pengguna. Pasukan penyelamat dan agensi kerajaan sedang giat memastikan bekalan makanan dan bantuan asas dapat disalurkan kepada semua keluarga terjejas.
Dengan peruntukan keseluruhan RM21 juta, usaha bantuan dijangka dapat dipercepatkan bagi meringankan beban mangsa dan memulihkan kawasan terjejas.
Gempa Batu Pahat, gegaran dirasai di enam kawasan sehingga ke Putrajaya
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum