Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerajaan membuktikan komitmennya dalam memerangi rasuah, jenayah terancang dan ketirisan fiskal menerusi pencapaian membanggakan badan-badan penguatkuasa negara.
Sejak pentadbiran Madani memegang teraju kepimpinan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti mencecah hampir RM15.5 bilion.
Pencapaian ini termasuk kejayaan terkini PDRM menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.
“Demikian maksud kami tatkala menekankan tatakelola dalam pemerintahan. Bayangkan wang yang disakau dan dirompak yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah 15.5 bilion ringgit.
“Tidak dapat dimungkiri segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik dan lemahnya penguatkuasaan,” kata Anwar semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewaan Rakyat.
Bagi memperkukuhkan lagi keupayaan badan penguatkuasa, kerajaan akan memperkasa badan-badan ini pada tahun hadapan dengan peruntukan lebih RM700 juta untuk latihan dan perolehan aset.
Di samping itu, beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan, antaranya JKDM akan memperkenalkan setem cukai digital yang lebih selamat bagi memerangi pemalsuan, selain menggunakan Centralised Screening Complex CCTV untuk menangani ketirisan di pintu masuk negara.
Kerajaan juga akan melaksanakan e-Invois secara menyeluruh mulai 2026, bersama sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai dan proses pembayaran balik cukai terlebih bayar akan dipercepatkan.
Bagi menangani isu penyalahgunaan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan oleh pemilik kenderaan mewah, kerajaan bercadang untuk menghadkan pengecualian tersebut kepada kenderaan yang nilainya tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Selaras dengan usaha memerangi rasuah, program pencegahan rasuah anjuran pertubuhan masyarakat sivil yang diiktiraf SPRM akan diluluskan sebagai projek berkepentingan nasional yang layak mendapat potongan cukai.
Penderma yang menyumbang kepada program ini juga akan layak mendapat potongan cukai pendapatan.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
Tiga maut dilanggar lori imigresen terbabas: Polis tahan dua pemandu
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri