Kes scam.
Kerajaan menubuhkan jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas bagi memperkukuh tindakan terhadap jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil berkata penubuhan jawatankuasa itu diputuskan pada 18 Jun lalu hasil pemukiman yang memberi tumpuan kepada peningkatan kes scam serta kerugian besar yang ditanggung mangsa.
Beliau berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan akan diadakan dalam tempoh terdekat dengan melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkaitan.
Lebih penting, katanya, usaha itu turut menghimpunkan sektor perbankan, syarikat telekomunikasi serta platform digital utama termasuk media sosial.
“Ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan. Malah, buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform-platform utama termasuk media sosial akan turut dilibatkan,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Jenayah penipuan dalam talian menjadi antara ancaman utama dalam ekosistem digital negara, dengan taktik penjenayah semakin pelbagai termasuk penyamaran sebagai pegawai penguat kuasa, tawaran pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud, penipuan cinta dan penjualan barangan secara dalam talian.
Kes penipuan juga sering melibatkan pemindahan wang secara pantas melalui akaun keldai, sekali gus menyukarkan usaha mengesan dan membekukan transaksi sebelum wang mangsa lesap.
Fahmi berkata, pendekatan baharu itu bertujuan menyelaras tindakan antara semua pihak berkaitan supaya isu scam dapat ditangani secara lebih menyeluruh, merangkumi aspek penguatkuasaan, perundangan, siasatan dan pencegahan.
“Ini adalah satu langkah proaktif di pihak kerajaan untuk mengenal pasti isu-isu yang dihadapi dan menguruskan sama ada dari segi penguatkuasaan, perundangan dan juga siasatan supaya rakyat Malaysia akan dapat lebih selamat apabila menggunakan platform-platform digital,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menjangkakan beberapa hasil positif dapat dicapai dalam tempoh tidak terlalu lama menerusi kerjasama lebih rapat antara agensi kerajaan dan pemain industri.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, tidak semua strategi yang sedang dibincangkan boleh didedahkan kepada umum kerana ia berisiko memberi kelebihan kepada sindiket penipuan.
“Kita jangkakan dalam masa yang tidak terlalu lama, beberapa perkara akan dapat diuruskan. Saya tidak boleh cakap terlalu terbuka kerana yang sedang menonton ini juga mungkin dalam kalangan scammer,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan merentas agensi itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah digunakan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan membuahkan hasil melalui beberapa operasi khas.
Fahmi yakin penubuhan jawatankuasa tersebut dapat mempercepatkan proses membuat keputusan dan membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pihak yang menggunakan platform digital untuk memperdaya rakyat.
“Dengan adanya jawatankuasa kerja ini, tindakan yang lebih tegas, lebih pantas dan lebih tuntas dapat diambil terhadap scammer,” katanya.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum