Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Anthony Loke menyifatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah sebagai antara kerusi paling penting dalam menentukan sama ada Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Penyandang DUN Chennah itu berkata, kerusi berkenaan bersama beberapa lagi DUN di bawah Parlimen Jelebu memainkan peranan besar dalam pembentukan kerajaan negeri sejak 2018 dan sekali lagi menjadi medan penting untuk memperoleh mandat rakyat.
“Kerajaan yang ditubuhkan oleh Pakatan Harapan sejak 2018 telah membuktikan kita mampu membawa kemajuan dan kestabilan kepada negeri.
“Kita harap mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk semula kerajaan negeri, dan kerusi-kerusi di Parlimen Jelebu ini amat kritikal kerana pada 2018, Chennah dan Kelawang menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang pada Sabtu.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jelebu, Abdul Rahim A Aziz mengumumkan DUN Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Loke yang mewakili PH dan calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon.
Mengulas peluang mempertahankan kerusi campuran itu, Loke mengakui Chennah sentiasa menjadi kawasan yang sengit kerana tiada satu kaum pun membentuk majoriti pengundi.
Menurutnya, kemenangan hanya boleh dicapai menerusi sokongan semua kaum berdasarkan rekod perkhidmatan dan pembangunan sepanjang dua penggal PH mentadbir negeri.
“Chennah sentiasa menjadi kerusi 50-50 kerana tiada satu kaum pun membentuk majoriti. Untuk menang, kita perlu mendapat sokongan merentasi semua kaum.
“Bezanya kali ini, kita bertanding sebagai kerajaan penyandang yang telah berkhidmat selama dua penggal dan membawa pembangunan kepada kawasan ini. Saya berharap dapat mengekalkan sokongan pengundi Cina, Melayu dan Orang Asli,” katanya.
Beliau turut memaklumkan proses penamaan calon bagi empat DUN di bawah Parlimen Jelebu berjalan lancar dengan calon PH di Pertang, Sungai Lui dan Kelawang berdepan pertandingan tiga penjuru, manakala Chennah menyaksikan saingan satu lawan satu.
Katanya, situasi itu sudah dijangka dan jentera PH kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kempen bagi memastikan sokongan pengundi dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan landskap politik berubah susulan kerjasama baharu antara BN dan Perikatan Nasional (PN), dengan kedua-dua gabungan itu bertanding menggunakan satu lambang di semua kerusi yang dipersetujui.
Penjajaran itu menjadikan banyak kerusi campuran, termasuk Chennah, antara medan yang dijangka menyaksikan persaingan sengit dalam menentukan pembentukan kerajaan negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 28 Julai, manakala hari pengundian berlangsung pada 1 Ogos.
Pelaburan negeri hasil usaha PH sebelum Kerajaan Perpaduan: Aminuddin
UMNO teliti 14 tawaran PN sebelum buat keputusan
BN NS akui Tok Min berjaya tingkatkan hasil negeri sepanjang PH tadbir
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
Tengku Zafrul nafi wujud sabotaj dalam kempen calon PKR
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat