Kempen masuk minggu kedua, Aminuddin fokus dekati pengundi seramai mungkin

13 jam lalu · Politik

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap pola sokongan pengundi walaupun kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sudah memasuki minggu kedua.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu berkata, sebahagian besar pengundi masih menilai perkembangan semasa sebelum membuat keputusan muktamad pada hari pengundian 1 Ogos nanti.

“Dah seminggu kempen berlangsung tetapi masih terlalu awal untuk membuat penilaian. Pengundi masih menilai dan melihat apa yang berlaku.

“Mungkin ada yang sudah membuat keputusan, tetapi masih ramai yang berada di atas pagar. Golongan inilah yang saya lihat akan membuat keputusan pada saat-saat akhir dan jumlah mereka agak besar, jadi mereka perlu diberi perhatian,” katanya selepas sesi ziarah rumah ke rumah di Bandar Baru Sunggala.

Aminuddin berkata, jentera PH kini memasuki fasa kempen yang lebih agresif dengan memberi tumpuan kepada usaha mendekati seramai mungkin pengundi di DUN Linggi.

Beliau turut memohon maaf kepada penduduk yang belum sempat ditemui sepanjang tempoh berkempen memandangkan proses pengundian awal akan bermula pada Selasa.

“Insya-Allah kami akan cuba bertemu seramai mungkin. Kepada mereka yang belum sempat saya temui, saya mohon maaf.

“Bagi pengundi awal yang akan mengundi Selasa ini dan pengundi pada 1 Ogos, saya berharap mereka terus memberikan sokongan kepada PH supaya agenda pembangunan negeri dapat diteruskan,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar kawasan perkampungan di DUN Linggi sudah selesai dilawati, manakala baki beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan menjadi fokus sepanjang baki tempoh kempen.

Mengulas manifesto PH, Aminuddin berkata, agenda perumahan kekal menjadi antara keutamaan gabungan itu, terutama dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri akan meneruskan penyediaan rumah mampu milik pada harga RM45,000, RM110,000 dan RM250,000 menerusi kerjasama dengan pemaju.

“Saya berharap anak-anak Negeri Sembilan yang layak segera memohon apabila tawaran Rumah Type A dibuka. Kita mahu rumah ini benar-benar dimanfaatkan golongan yang memerlukan, khususnya B40,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif Rumah Harapan turut diteruskan bagi membantu golongan B40 yang memiliki tanah sendiri atau tanah keluarga membina kediaman tanpa dibebankan kadar faedah.

“Rumah Harapan diwujudkan supaya mereka boleh membina rumah di atas tanah sendiri atau tanah milik keluarga. Kita tidak mahu kampung semakin kosong kerana anak muda berhijrah ke bandar hanya disebabkan masalah perumahan.

“Ketika ini harga Rumah Harapan sekitar RM85,000, namun ia bergantung kepada kos semasa. Apa yang penting, kita tidak mengenakan faedah terhadap pembayaran rumah tersebut,” katanya.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan kempen memasuki minggu kedua dengan semua parti utama giat memperkenalkan manifesto serta memperkukuh gerak kerja akar umbi bagi memenangi hati pengundi menjelang pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian rasmi pada 1 Ogos.

Berita berkaitan
BN NS akui Tok Min berjaya tingkatkan hasil negeri sepanjang PH tadbir
3 jam lalu· Politik
Aminuddin minta buktikan mana projek PH yang tertinggal
11 jam lalu· Politik
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
12 jam lalu· Politik
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
13 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
UMNO teliti 14 tawaran PN sebelum buat keputusan
3 jam lalu · Politik
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
7 jam lalu · Politik
Tengku Zafrul nafi wujud sabotaj dalam kempen calon PKR
7 jam lalu · Politik
PAS yang patut keluar PN, bukan Bersatu
10 jam lalu · Politik
Sanusi memang gemar keluar kenyataan pelik
10 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
11 jam lalu
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
July 25, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok