Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan serbuan dilakukan di sebuah hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, hari ini susulan kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah di Laos minggu lalu.
Serbuan itu turut membawa kepada penahanan empat individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi khas itu dijalankan secara bersama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (AVSEC) serta Pegawai Kawalan Perjalanan Cawangan Khas (TCO).
“Saya sahkan memang ada serbuan dan tangkapan. Operasi ini dibuat secara bersama dan kami sudah membuat perancangan sejak semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu telah selesai dan empat individu ditahan ketika sedang membuat persiapan untuk penerbangan.
Kesemua individu terbabit kemudian diserahkan kepada JSJN Bukit Aman bagi membantu siasatan lanjut.
Nik Ezanee bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut berkaitan operasi serta identiti individu yang ditahan dan menyerahkan kepada JSJN Bukit Aman untuk memberikan perkembangan berhubung kes berkenaan.
Kes itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rampasan dadah dalam jumlah besar oleh pihak berkuasa Laos pada 1 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, pihak berkuasa Laos merampas 521kg crystal methamphetamine yang ditemukan dalam sebuah jet persendirian jenis Learjet yang tiba dari Subang.
Susulan rampasan tersebut, 13 individu termasuk warga Malaysia, Singapura dan Filipina ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penyeludupan dadah rentas negara.
Perkembangan terbaharu di Subang hari ini dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan susulan pihak berkuasa Malaysia bagi mengesan rangkaian serta pihak yang mempunyai kaitan dengan penghantaran dadah berkenaan.
Siasatan lanjut kini dijalankan JSJN Bukit Aman bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang ditahan serta kemungkinan wujudnya rangkaian lebih besar dalam kes berkenaan.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum