Polis Laos merampas 521 kilogram methamphetamine kristal di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang. Foto Lao Security Newspaper
Seorang rakyat Malaysia antara 13 individu ditahan pihak berkuasa Laos selepas 521 kilogram (kg) methamphetamine kristal dirampas daripada sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Laos berhubung kes berkenaan.
“Setakat ini, kita belum menerima maklumat atau butiran daripada pihak berkuasa dadah Laos.
“Maklumat yang kita ada ketika ini ialah seorang daripada 13 individu yang ditahan merupakan warga Malaysia. Bagaimanapun, dia bukan individu yang menaiki penerbangan dari Subang ke Laos,” katanya dipetik laporan media.
Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa Laos merampas 521kg methamphetamine kristal daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu.
Menurut laporan Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper, operasi itu dijalankan susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan menggunakan pesawat peribadi.
Polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan sebelum jet berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia pada kira-kira jam 1.30 tengah hari, 1 Oktober.
Dalam serbuan itu, 13 individu ditahan termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, beberapa pelancong asing, tiga pekerja syarikat serta tujuh kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Siasatan pihak berkuasa Laos mendapati jet berkenaan melakukan penerbangan dari Subang ke Laos. Bagaimanapun, pesawat itu diterbangkan juruterbang dan pembantu juruterbang yang bukan warganegara Malaysia.
Hussein berkata, JSJN turut meneliti kemungkinan kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang juruterbang di Indonesia sebelum ini.
“Dalam siasatan, terlalu awal untuk kita membuat sebarang kesimpulan sama ada terdapat kaitan atau sebaliknya,” katanya.
Rampasan 521kg methamphetamine itu dilihat sebagai satu lagi perkembangan membabitkan rangkaian penyeludupan dadah rentas sempadan di rantau Asia Tenggara.
Pihak berkuasa Malaysia dan negara jiran sebelum ini sering bekerjasama membanteras sindiket yang menggunakan laluan udara, laut dan darat untuk membawa masuk dadah dalam jumlah besar.
Siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa Laos, manakala JSJN dijangka mendapatkan maklumat lengkap bagi mengenal pasti peranan rakyat Malaysia yang ditahan serta kemungkinan kaitannya dengan rangkaian penyeludupan berkenaan.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum