Kes kehilangan Pastor Raymond Koh.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran pampasan berjumlah lebih RM38 juta kepada Pastor Raymond Koh dan isterinya, Susanna Liew, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Hakim Mahazan Taib memutuskan bahawa kerajaan berjaya membuktikan kewujudan keadaan khas di bawah Perintah 45 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, sekali gus mewajarkan penangguhan pelaksanaan penghakiman.
Menurut beliau, berdasarkan imbangan keadilan, penangguhan tersebut tidak akan memprejudiskan Koh dan isterinya.
“Tiada bukti keperluan kewangan mendesak oleh pihak responden, dan tiada dakwaan bahawa kerajaan tidak mampu membayar atau berisiko melupuskan aset,” katanya dalam keputusan yang dibacakan hari ini.
Hakim turut menyatakan menolak permohonan penangguhan boleh memberi kesan pentadbiran dan kewangan yang tidak dapat dipulihkan kepada kerajaan sekiranya keputusan asal dibatalkan kelak.
“Saya berpuas hati bahawa mengekalkan status quo adalah lebih adil sementara rayuan diputuskan,” katanya.
Peguam Liew, Michelle Wong, mengesahkan keputusan ini turut menangguhkan semua perintah mahkamah terdahulu, termasuk pembayaran ganti rugi harian RM10,000 kepada Koh serta arahan untuk membuka semula siasatan terhadap penculikannya.
“Ini bermakna pengiraan ganti rugi harian terhenti mulai hari ini,” katanya kepada media.
Koh diculik pada 13 Februari 2017 di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan menemui seorang rakan. Rakaman CCTV menunjukkan beberapa kenderaan utiliti sukan hitam dan sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dalam insiden tersebut, namun sehingga kini beliau masih belum ditemui.
Pada 2020, Liew memfailkan saman terhadap kerajaan, kepimpinan tertinggi polis ketika itu serta beberapa individu lain, mendakwa penculikan tersebut melibatkan kecuaian dan salah laku pihak berkuasa serta pelanggaran hak asasi.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan pembayaran RM10,000 sehari kepada Koh dari tarikh penculikannya sehingga beliau ditemui, selain RM6 juta sebagai ganti rugi tambahan berkaitan kecuaian dan pelanggaran perlembagaan.
Mahkamah turut mengarahkan pembayaran RM3 juta kepada Liew bagi tekanan mental dan ganti rugi teladan.
Jumlah keseluruhan pampasan, termasuk ganti rugi harian terkumpul sehingga 26 Januari 2026, dianggarkan melebihi RM38 juta.
Sasar 5,010 peserta sertai latihan AI di NADI seluruh negara: Fahmi
Kerajaan perkasa bantuan guaman syarie dengan peruntukan baharu RM1.5 juta: PMX
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar