Allahyarham Bung Moktar Radin, dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang RM2.8 juta, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding berikutan kematian beliau pada 5 Disember lalu.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin Hou, memaklumkan mahkamah pendakwaan menarik balik kes terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu selaras Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
“Pendakwaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap tertuduh pertama kerana beliau telah meninggal dunia,” katanya.
Susulan keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan berjumlah RM100,000 serta pasport milik Bung Moktar dikembalikan.
Bung Moktar sebelum ini juga merupakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA dan bekas ADUN Lamag, selain pernah mengetuai Barisan Nasional Sabah.
Namun begitu, mahkamah menolak representasi balunya, Zizie Izette Abdul Samad, untuk menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan rasuah.
Kes terhadap pelakon berkenaan akan diteruskan dengan perbicaraan ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.
“Mahkamah mendapati tiada alasan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap tertuduh kedua,” kata Rosli ketika menetapkan tarikh perbicaraan.
Zizie Izette diwakili peguam Teh See Khoon, manakala Bung Moktar sebelum ini diwakili Ashok Athimulan.
Untuk rekod, Bung Moktar didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima suapan RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan meluluskan pelaburan FELCRA berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Wang itu didakwa diterima melalui isterinya dan akaun pelaburan atas nama Zizie Izette. Pertuduhan ketiga pula melibatkan penerimaan wang tunai RM337,500 daripada seorang perunding unit amanah.
Kes ini menjadi antara tumpuan nasional kerana melibatkan tokoh politik berprofil tinggi serta persoalan tadbir urus dana awam.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib