Kes sita RM169 juta Ismail Sabri: Mahkamah keluarkan warta pihak ketika

September 8, 2025 · Politik

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan warta pihak ketiga kepada mana-mana individu yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas wang berjumlah RM169 juta yang didakwa milik bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Warta itu dikeluarkan oleh Hakim Suzana Hussin selepas mahkamah dimaklumkan Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Mohammad Anuar Mohd Yunus, tidak berhasrat untuk mencabar prosiding rampasan harta yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan mahkamah itu dibuat di bawah Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

SPRM sebelum ini memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.

Jumlah wang yang dimohon untuk dilucut hak itu merangkumi pelbagai mata wang asing, iaitu RM14,772,150; SG$6,132,350; US$1,461,400; CHF3 juta (Franc Switzerland); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Dirham Emiriah) dan AUD352,850.

Permohonan SPRM itu difailkan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah pihak pendakwaan berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta yang sama.

“Saya benarkan untuk kita mengeluarkan satu warta pihak ketiga sekiranya terdapat pihak ketiga ada kepentingan terhadap harta-harta yang disenaraikan itu. Saya kekalkan tarikh bicara (untuk pihak ketiga hadir di mahkamah) pada 1 Oktober ini,” kata Suzana.

Warta pihak ketiga merupakan satu proses di mana mahkamah mewartakan notis untuk memaklumkan mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang disita agar mereka dapat tampil ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk memberikan alasan mengapa harta tersebut tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan mahkamah kedua-dua responden telah menghantar surat melalui peguam pada 28 Ogos lalu yang menyatakan mereka tidak akan mencabar permohonan tersebut.

“Mereka juga menyatakan tidak berhasrat hadir ke mahkamah bagi tarikh sebutan yang ditetapkan. Saya mohon mahkamah mengesahkan kandungan surat itu kepada kedua-dua responden,” katanya.

Peguam bagi kedua-dua responden, Amer Hamzah Arshad, mengesahkan bahara pihaknya telah menghantar representasi kepada Pendakwa Raya pada 22 Ogos lalu, dan seterusnya menghantar surat kepada mahkamah pada 28 Ogos untuk memaklumkan bahawa mereka tidak akan mencabar permohonan SPRM itu.

Susulan itu, Mahadi memohon mahkamah mengeluarkan warta tersebut dan menyatakan hasrat untuk menyegerakan proses berkenaan.

Berita berkaitan
PRN Melaka: PAS nafi akan umum calon sepentas dengan BN
12 jam lalu· Politik
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
13 jam lalu· Politik
Anwar doakan Ustaz Wadi Annuar segera pulih selepas terlibat kemalangan
17 jam lalu· Isu semasa
Belanjawan 2027: STR, SARA RM16 bilion kekalkan kuasa beli rakyat
17 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
12 jam lalu · Politik
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
13 jam lalu · Politik
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
17 jam lalu · Politik
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
17 jam lalu · Politik
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
October 22, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok