Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pihak pendakwaan dijangka memuktamadkan pendirian sama ada mahu meneruskan atau menggugurkan rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kes penyelewengan dana RM1 juta milik Armada pada Rabu ini.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM berkata, pendirian itu akan dimaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan melalui surat secara emel kepada timbalan pendaftar mahkamah.
“Tiada prosiding di mahkamah terbuka pada hari tersebut, sebaliknya hanya pemakluman rasmi kepada pihak mahkamah melalui emel,” katanya dipetik laporan MalaysiaGazette.
Menurut beliau, pihak pendakwaan akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara bagi mendapatkan arahan lanjut sebelum membuat keputusan muktamad.
“Pendakwa Raya mempunyai budi bicara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan, meneruskan atau menghentikan prosiding jenayah pada mana-mana peringkat,” jelasnya.
Jumaat lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk menentukan sama ada rayuan terhadap Ahli Parlimen Muar itu akan diteruskan.
Presiden Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais, menyifatkan tempoh tersebut sebagai ruang ‘bertenang’ bagi membolehkan pendakwaan menilai semula kedudukan kes sebelum mahkamah menetapkan tarikh keputusan.
Dalam prosiding itu, mahkamah turut mencadangkan agar pendakwaan menilai keyakinan mereka terhadap kekuatan rayuan berkenaan.
“Jika pendakwaan yakin masih boleh membuktikan kes, teruskan. Jika selepas semakan mendapati rayuan tidak wajar dikekalkan, maklumkan kepada mahkamah,” kata beliau.
Panel berkenaan juga memberi ruang kepada pihak pembelaan untuk mengadakan perbincangan mengenai hala tuju rayuan.
Sekiranya pendakwaan memilih untuk meneruskan rayuan, mereka diberi tempoh seminggu untuk memfailkan hujahan bertulis tambahan, diikuti hujahan balas oleh pembelaan.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini mendengar rayuan akhir pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan serta hukuman berkaitan penyelewengan dana Armada.
Mahkamah Rayuan turut membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Hampir 14 juta rakyat nikmati subsidi BUDI MADANI
Kos sara hidup lebih terkawal, inflasi turun empat tahun berturut-turut: Armizan
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar