Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2024 meningkat kepada 120.6 mata berbanding 119.4 mata pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Tahap kesejahteraan rakyat Malaysia terus menunjukkan trend positif apabila Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2024 meningkat kepada 120.6 mata berbanding 119.4 mata pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu didorong terutamanya oleh subkomposit ekonomi yang mencatat kenaikan 2.2 mata indeks kepada 128.8.
Subkomposit sosial turut meningkat sebanyak 1.1 mata indeks, manakala subkomposit alam sekitar merekodkan kenaikan 0.2 mata indeks berbanding 2023.
“Bagi subkomposit ekonomi, komponen pendapatan dan pengagihan merekodkan peningkatan tertinggi iaitu 5.9 mata indeks, diikuti pengangkutan dengan 3.4 mata indeks dan komunikasi sebanyak 0.1 mata indeks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pencapaian tersebut mencerminkan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh serta pengagihan pendapatan yang lebih seimbang dalam kalangan rakyat.
Dari sudut kesejahteraan sosial, Mohd Uzir memaklumkan peningkatan indeks disumbangkan oleh enam komponen utama, termasuk penyertaan sosial yang meningkat 5.1 mata indeks dan tadbir urus sebanyak 4.7 mata indeks.
Komponen perumahan serta hiburan dan rekreasi masing-masing meningkat 1.7 mata indeks, diikuti kebudayaan 0.4 mata indeks dan keselamatan awam 0.1 mata indeks.
Bagi subkomposit alam sekitar pula, beliau berkata perkembangan positif turut direkodkan menerusi peningkatan komponen udara sebanyak 1.1 mata indeks dan sumber biodiversiti 0.2 mata indeks.
“Penambahbaikan ini memberi tumpuan kepada pelepasan gas rumah kaca, akses kepada air paip terawat serta keluasan hutan yang dilesenkan untuk pengusahasilan,” katanya.
Mengulas pencapaian di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan IKRM, dengan Kelantan merekodkan kenaikan tertinggi sebanyak 2.0 mata indeks, diikuti Kedah dan Sarawak masing-masing 1.8 mata indeks serta Sabah 1.3 mata indeks.
Menurutnya, Sarawak mencatat peningkatan paling ketara dalam subkomposit ekonomi dengan 3.7 mata indeks, Kedah mendahului subkomposit sosial dengan kenaikan 3.0 mata indeks, manakala Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan signifikan dalam subkomposit alam sekitar sebanyak 4.7 mata indeks.
“Secara keseluruhan, IKRM 2024 mengesahkan kesejahteraan rakyat Malaysia terus meningkat, dipacu oleh kemajuan ekonomi, pengukuhan sosial dan penambahbaikan alam sekitar,” katanya.
AI hanya alat, bukan pengganti pengkarya: Fahmi
MP DAP gesa tindakan tegas berhubung isu hina simbol agama
Malaysia pantau konflik Asia Barat, nilai kesan terhadap ekonomi: Akmal Nasrullah
27 barangan dikawal sempena Aidilfitri
Mufti Perlis bimbang pengaruh gerakan Hindutva menular, punca provokasi kaum
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan