Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kementerian Komunikasi akan memberi tumpuan utama kepada pengukuhan keselamatan internet dan penambahbaikan penyampaian maklumat kerajaan pada 2026, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan kesejahteraan dan keadilan untuk rakyat.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, usaha itu akan diperkasakan menerusi pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2.0 yang diperluaskan bukan sahaja kepada kanak-kanak dan remaja, malah melibatkan ibu bapa serta masyarakat secara menyeluruh.
“Saya rasa gagal kalau kita hanya sediakan internet yang laju dan murah, tetapi tidak selamat. Sebab itu Kempen Internet Selamat 2.0 akan dilaksanakan secara lebih agresif dan berskala besar,” katanya dalam satu temu bual khas Bernama.
Menurut Fahmi, kempen itu akan dibawa menjelajah ke seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko digital seperti buli siber, penipuan dalam talian dan penyalahgunaan platform media sosial, termasuk peranan penting ibu bapa dalam melindungi anak-anak.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian akan memperkukuh perlindungan pengguna melalui pengoperasian Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) oleh MCMC serta pembangunan Sistem Alamat Nasional (NAS) bagi menyokong perkhidmatan awam dan ekonomi digital.
Mengulas aspek perundangan, Fahmi berkata 2025 mencatat pencapaian penting apabila pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang tertangguh lebih sedekad akhirnya berkuat kuasa pada Februari lalu.
“Pindaan ini membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap kes seperti buli siber, penipuan dalam talian, doxing dan akaun palsu. Ini bukti kesungguhan kerajaan memastikan undang-undang kekal relevan dengan cabaran digital,” katanya.
Beliau mengakui kes kematian pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau Esha pada 2024 akibat buli siber sebagai detik paling menyayat hati sepanjang perkhidmatannya, namun tragedi itu menjadi pemangkin perubahan sistem.
“Malangnya, satu nyawa terkorban sebelum perubahan berlaku. Tetapi kini mangsa mempunyai ruang untuk mendapatkan keadilan melalui fasal khas dan tribunal anti buli,” katanya.
Bagi aspek komunikasi kerajaan, Fahmi menegaskan pendekatan penyampaian maklumat perlu berubah mengikut segmen sasaran dan platform yang digunakan rakyat.
“Tak guna maklumat itu baik kalau tak sampai atau tak difahami. Kita kena faham di mana rakyat berada dan bagaimana mereka menerima maklumat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan 2025 sebagai tahun mencabar tetapi membanggakan, dengan kejayaan Malaysia mengemudi Kepengerusian ASEAN serta penubuhan Majlis Media Malaysia selepas lebih lima dekad diperjuangkan.
“Kejayaan ini adalah amanah besar yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat dan industri media,” katanya.
2,257 pengarah syarikat gagal bayar caruman disekat ke luar negara
Bekalan minyak kekal stabil walaupun berdepan konflik Asia Barat
Stok beras dipertingkat hingga 9 bulan, bekalan mencukupi: Mohamad
Politik stabil tarik minat pelabur asing ke Malaysia
Saksi penting dalang komplot jatuhkan kerajaan berada di luar negara: Polis
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan