Harga minyak dunia meningkat ekoran perang di Iran.
Malaysia disenaraikan antara negara ASEAN yang paling terdedah kepada risiko gangguan bekalan minyak mentah susulan konflik berterusan di Asia Barat, yang menjejaskan laluan kritikal seperti Selat Hormuz.
Menurut laporan penyelidikan Maybank Investment Bank, Malaysia bersama Filipina dan Vietnam berada dalam kelompok paling berisiko kerana pergantungan tinggi kepada import minyak dari Teluk Parsi.
Filipina mencatat kebergantungan tertinggi iaitu 95 peratus, diikuti Vietnam (88 peratus) dan Malaysia sebanyak 69 peratus.
“Filipina paling terdedah berikutan kebergantungan hampir sepenuhnya kepada import minyak, khususnya dari Teluk Parsi,” jelas laporan itu.
Selat Hormuz merupakan laluan utama penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, dengan sebahagian besar bekalan menuju ke Asia, terutama China dan India.
Ketegangan geopolitik di rantau itu telah meningkatkan risiko gangguan rantaian bekalan tenaga global.
Bagi Malaysia, kesan krisis ini sudah mula dirasai apabila subsidi bahan api melonjak mendadak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu akibat kenaikan harga minyak dunia.
Kerajaan turut melaraskan harga bahan api tanpa subsidi, namun masih mengekalkan bantuan kepada rakyat melalui inisiatif BUDI MADANI.
Situasi ini menjadi lebih rumit apabila China mengehadkan eksport produk petroleum ditapis seperti diesel dan petrol.
Walaupun sebahagian besar digunakan untuk pasaran domestik, eksport sebanyak 5.8 juta tan pada 2025 memberi kesan kepada negara serantau termasuk Singapura dan Vietnam.
Dalam konteks serantau, Singapura memainkan peranan penting sebagai hab bahan api jet antarabangsa.
Sebarang gangguan bekalan produk ditapis dijangka memberi kesan besar kepada rantaian logistik dan penerbangan di Asia Tenggara.
Selain minyak, kebergantungan terhadap gas dari Teluk juga ketara.
Vietnam mencatat kebergantungan tertinggi dengan hampir separuh bekalan gasnya berasal dari rantau itu.
Malaysia pula lebih rendah, namun masih terdedah kepada turun naik pasaran global.
Laporan itu turut menegaskan bahawa pergantungan tinggi ASEAN terhadap sumber tenaga luar meningkatkan risiko kejutan bekalan, terutama jika negara pengeluar mengambil langkah mengehadkan eksport demi keperluan domestik.
“Kedudukan ini menunjukkan betapa pentingnya usaha mempelbagaikan sumber tenaga bagi mengurangkan risiko jangka panjang,” menurut laporan berkenaan.
PMX pertahan bantuan ke Gaza, tanda prihatin berterusan sesama umat Islam
Madani Mart akan dibuka di setiap DUN, tawar harga berpatutan
Fahmi rakam ucapan takziah atas pemergian Ling Liong Sik
159 berita palsu berhubung krisis tenaga diturunkan MCMC
Bekalan minyak negara masih stabil, import tak setinggi negara ASEAN lain
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan