Ketua AMK, Kamil Munim.
Semua pihak diseru supaya lebih peka terhadap sensitiviti dan mengelakkan polemik yang tidak membawa manfaat, khususnya ketika perbincangan melibatkan hala tuju politik negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Munim Abdul Munim mengulas berhubung Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang diadakan hari ini dengan berharap program itu menjadi platform yang matang dan bermakna buat generasi muda menyuarakan idea serta pandangan secara bertanggungjawab demi masa depan Malaysia.
Katanya, peranan anak muda bukan sekadar bersuara lantang, tetapi memastikan setiap pandangan yang dibawa bersifat membina.
“Dalam realiti Malaysia yang majmuk, kestabilan dan keharmonian hanya dapat dipelihara melalui kebijaksanaan, kesederhanaan dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menambah semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjaga sensitiviti serta mengelakkan perbalahan yang tidak perlu.
Konvensyen khas itu dianjurkan oleh Pemuda UMNO yang diketuai Dr Muhamad Akmal Saleh dan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Ia diadakan bagi membincangkan, meneliti dan membuat keputusan berkaitan hala tuju parti, khususnya berhubung kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Penganjuran konvensyen ini turut berlangsung dalam suasana ketegangan dalaman susulan rasa tidak puas hati segelintir pihak terhadap keputusan mahkamah yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas presiden UMNO, Najib Razak, dalam kes 1MDB baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Kamil menegaskan perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam politik, namun ia perlu diurus dengan semangat saling menghormati.
“Walaupun kita datang daripada latar belakang dan bangsa yang berbeza, matlamat kita tetap sama iaitu memelihara keharmonian dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya.
Seiring aspirasi Kerajaan Madani, beliau menyeru semua pihak agar terus mengamalkan pendekatan berhemah, memperkukuh kerjasama dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
“Dengan komitmen bersama, kestabilan politik dan kemajuan negara boleh terus dipertahankan,” katanya.
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
SPR jual 553 borang calon menjelang hari penamaan PRN Johor
PAS kempen calon sendiri sahaja, tidak bantu Bersatu di Johor: Hadi
SPR keluar peringatan menjelang penamaan calon PRN Johor
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar