Hanya 10 kategori pengguna boleh membeli petrol dan diesel melebihi 20 liter.
Hanya pengguna kategori tertentu dibenarkan membeli petrol dan diesel melebihi 20 liter melalui Permit Khas yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata, setakat ini hanya 10 kategori layak memohon, termasuk sektor seperti pertanian, penternakan, pengangkutan air, industri makanan, serta penduduk di kawasan pedalaman dan pulau.
Beliau menjelaskan, pembelian dalam kuantiti besar itu mesti mendapat kelulusan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengelakkan penyelewengan bahan api bersubsidi.
“Mana-mana individu atau syarikat yang ingin membeli petrol atau diesel selain untuk tangki asal kenderaan perlu memohon Permit Khas terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pembelian yang diluluskan hanya tertakluk kepada kuantiti melebihi 20 liter dan harga adalah berdasarkan harga pam semasa di stesen minyak.
Azman turut menegaskan hanya pemegang Permit Khas dibenarkan mengisi minyak ke dalam tong atau bekas tertentu, tertakluk kepada syarat keselamatan dan kelulusan yang diberikan.
“Tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan membeli minyak dalam tong di stesen minyak kecuali dalam keadaan kecemasan, dengan kuantiti tidak melebihi 20 liter,” katanya.
Beliau berkata, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan dan ia adalah percuma bagi pihak yang layak.
Isu ini kembali mendapat perhatian selepas tular satu video di media sosial memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 dalam jumlah besar ke dalam tong plastik di dalam but kenderaan.
Susulan itu, pihak KPDN Johor dilaporkan sedang mengesan individu berkenaan bagi membantu siasatan, dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Skudai.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memperketatkan kawalan penjualan bahan api bersubsidi berikutan kebimbangan berlakunya penyeludupan dan penyalahgunaan, khususnya melibatkan diesel dan petrol RON95 yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Langkah penguatkuasaan ini dilihat sebagai usaha memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran serta mengelakkan ketirisan yang merugikan negara.
PMX pertahan bantuan ke Gaza, tanda prihatin berterusan sesama umat Islam
Pergerakan pasaran bursa dijangka kekal berhati-hati minggu depan
Madani Mart akan dibuka di setiap DUN, tawar harga berpatutan
Perbahasan isu harga minyak perlu berasas fakta: Anwar
Fahmi rakam ucapan takziah atas pemergian Ling Liong Sik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan