Media sosial.
Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mempergiat usaha mengawal kandungan memudaratkan di platform digital bagi melindungi pengguna muda, khususnya remaja dan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pendekatan menyeluruh sedang diambil, termasuk sesi libat urus berterusan dengan penyedia platform media sosial bagi memastikan sistem algoritma mereka mematuhi peraturan tempatan.
Menurut beliau, langkah ini penting untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan berunsur negatif.
“MCMC mengambil pendekatan proaktif dan menyeluruh bagi memastikan kandungan memudaratkan dapat dikawal, sekali gus mencegah pendedahan kepada pengguna muda,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan, usaha tersebut selari dengan pindaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau Akta 866 yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Akta itu mewajibkan penyedia perkhidmatan aplikasi dan kandungan yang dilesenkan untuk memantau serta mengawal kandungan berbahaya dalam talian.
“Akta ini memberikan asas perundangan yang lebih kukuh kepada kerajaan untuk memastikan keselamatan pengguna digital, terutamanya golongan rentan,” katanya.
Beberapa peraturan subsidiari telah pun dikuatkuasakan, manakala instrumen lain dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.
Kebimbangan terhadap kesan media sosial terhadap kesihatan mental dan keselamatan kanak-kanak semakin meningkat, seiring dengan peningkatan penggunaan platform digital dalam kalangan golongan muda di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC kini memberi tumpuan kepada penilaian dan ujian mekanisme pengesahan umur pengguna sebagai salah satu keperluan pematuhan di bawah Akta 866.
Penilaian itu meliputi aspek keselamatan akaun, perlindungan data peribadi, privasi, kesesuaian teknologi serta pematuhan kepada rangka kerja perundangan negara.
Nie Ching berkata proses ‘regulatory sandbox’ sedang dijalankan dengan kerjasama platform media sosial bagi menguji pendekatan teknologi yang sesuai.
“Ini termasuk pengesahan umur dengan kebenaran pengguna, pengesahan identiti, penggunaan kecerdasan buatan untuk mengesan kandungan berisiko, serta penambahbaikan sistem aduan agar lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Kerajaan berharap langkah ini dapat mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat tanpa menjejaskan inovasi dan kebebasan pengguna.
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
Cucu dedah dakwa dirogol, warga emas direman enam hari
Malaysia teroka sumber minyak baharu, utamakan kesesuaian fasiliti tempatan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi