Laporan RCI TH buktikan tuduhan terhadap saya tidak benar : Mujahid

July 30, 2026 · Isu semasa

Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji disifatkan membersihkan nama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mujahid Yusof Rawa daripada pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya ketika menerajui kementerian itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, laporan yang kini boleh diakses orang ramai memperjelaskan keadaan sebenar sepanjang proses pemulihan dan penstrukturan semula Tabung Haji dilaksanakan antara 2018 hingga 2020.

“Antara tuduhan yang sering dilemparkan ketika itu ialah dakwaan kononnya saya menggadaikan aset umat Islam kepada bukan Islam, namun laporan RCI membuktikan dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak berasas.

“Mereka juga menuduh saya sebagai menteri yang mengeluarkan hibah terendah tanpa mengetahui sebelumnya pada zaman Barisan Nasional (BN), Tabung Haji mengalami kerugian yang besar kerana mengeluarkan hibah tidak patuh undang-undang demi kepentingan politik sebagaimana yang dilaporkan.

“Hasil daripada pemulihan yang kami lakukan, pembayaran hibah patuh undang-undang meningkat daripada serendah 1.25 peratus pada awal pemulihan kepada 3.5 peratus hari ini. Itu adalah hasil kejayaan pemulihan yang dilaksanakan sepanjang 2018 hingga 2020,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Mujahid turut melahirkan rasa syukur apabila laporan RCI mengiktiraf Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Tabung Haji yang dilancarkan pada 2018 sebagai langkah terbaik bagi menyelamatkan institusi itu daripada krisis kewangan melibatkan kerugian kira-kira RM10 bilion.

Menurutnya, laporan sama turut memperakui pendekatan subsidi haji secara bersasar yang diperkenalkan ketika itu, walaupun menerima kritikan hebat, merupakan langkah penting untuk memastikan kedudukan kewangan Tabung Haji kekal mampan.

“Saya telah diserang kerana pendekatan ini, walhal itulah yang direkomendasikan oleh Laporan RCI Tabung Haji untuk menyelamatkan kedudukan kewangan Tabung Haji yang kritikal,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pengurusan Tabung Haji ketika itu yang diketuai Mohd Nor Yusof selaku Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif Zukri Samat serta seluruh pasukan yang menjayakan usaha penstrukturan semula institusi berkenaan.

Menurut Mujahid, laporan RCI turut mengesahkan beliau mewarisi Tabung Haji dalam keadaan defisit kira-kira RM10 bilion dan tanpa langkah pemulihan yang diambil, institusi itu berdepan risiko masalah kewangan lebih besar sehingga boleh menjejaskan kebajikan jemaah haji.

“ALLAH jua yang mendengar rintihan dan doa mereka yang menjadi mangsa fitnah lalu membela hamba-Nya,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan tadbir urus Tabung Haji susulan dakwaan berlaku ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan institusi berkenaan.

Laporan RCI yang didedahkan kepada umum mengandungi penemuan serta syor berkaitan langkah pembaharuan dan pemulihan bagi memastikan kedudukan kewangan serta tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh.

 

Berita berkaitan
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
October 22, 2026· Isu semasa
UMNO digesa beri penjelasan susulan kemurkaan Tuanku Muhriz: Amanah
October 17, 2026· Politik
Parlimen: 13 syor RCI Tabung Haji sudah dilaksana
October 9, 2026· Isu semasa
Rayuan haji 2027 dibuka 2 Oktober
September 28, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
5 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
6 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
6 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
6 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok