Rayuan haji bagi bakal jemaah Malaysia.
Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan mengerjakan ibadah haji bagi musim 1448H/2027M mulai 2 Oktober ini.
Permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI, sekali gus memberi peluang kepada pendeposit yang belum mendapat tawaran untuk mengemukakan rayuan lebih awal.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata pembukaan permohonan lebih awal membolehkan bakal jemaah membuat persediaan dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Katanya, pendekatan itu selari dengan konsep istito’ah atau kemampuan yang sedang diterapkan TH kepada masyarakat Islam di negara ini.
“TH sentiasa komited untuk berada di sisi dan membantu dalam setiap langkah para pendeposit merealisasi impian mereka menuju perjalanan teragung ini.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan TH termasuk kempen #menujuistitoah dan pelan persediaan haji menyeluruh yang dikenali sebagai Seruan Istito’ah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi musim haji 1448H/2027M, jemaah yang berjaya melalui proses rayuan dikenakan kos haji penuh sebanyak RM33,300.
Permohonan rayuan terbuka kepada pendeposit yang mempunyai sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH. Jumlah itu ditetapkan berdasarkan kadar Bayaran Haji terendah bagi kumpulan B40 sebagai rujukan minimum kemampuan kewangan untuk menunaikan ibadah haji.
Bagi rayuan luar giliran pada tahun haji semasa, TH akan mengambil kira beberapa kriteria dan skor merit dalam proses pertimbangan. Antaranya tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan, konsistensi simpanan, kekerapan membuat rayuan serta kehadiran ke Kursus Asas Haji anjuran TH.
TH turut memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring jemaah orang kurang upaya (OKU) yang terpilih bagi musim haji 1448H/2027M.
Bagi rayuan mahram atau pengiring yang berjaya, kadar bayaran haji ditetapkan mengikut kadar penerima tawaran haji giliran semasa yang diiringi berdasarkan kumpulan B40, M40 atau T20.
Pada masa sama, TH mengingatkan bakal jemaah supaya memberi perhatian terhadap tahap kesihatan kerana kelulusan permohonan tertakluk kepada keputusan ujian saringan kesihatan.
Bakal jemaah juga digalakkan memperkukuh ilmu berkaitan ibadah haji menerusi Kursus Asas Haji yang dianjurkan TH di lebih 200 masjid di seluruh negara. Kursus itu bermula 25 September lalu.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum