Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah dan lancar, menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata sambutan tersebut turut dijayakan oleh 14,062 peserta yang terlibat dalam perarakan dan perbarisan.
“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Perbadanan Putrajaya, jumlah kehadiran melebihi 100,000 orang,” katanya selepas majlis sambutan yang bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” itu.
Sambutan ini dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, serta barisan anggota Kabinet dan perwakilan asing.
Fahmi berkata persembahan grafik manusia oleh 2,000 pelajar sekolah yang berlatih selama lebih dua bulan mendapat pujian khas daripada Perdana Menteri sebagai persembahan terbaik dalam sejarah sambutan Hari Kebangsaan.
“Perdana Menteri menyantuni pasukan grafik manusia membabitkan lebih 2,000 pelajar dari pelbagai sekolah yang berlatih lebih dua bulan untuk acara hari ini dan beliau menitipkan pesan kepada pelajar bahawa persembahan ini yang terbaik daripada pasukan grafik manusia pernah beliau saksikan,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai mengunjungi program RiUH Merdeka yang berlangsung selama 30 jam di sekitar Monumen Alaf Baru, Putrajaya, menawarkan pelbagai persembahan, makanan, minuman dan jualan produk tempatan sehingga jam 6 petang ini.
Fahmi memuji kesanggupan orang ramai yang berkumpul sejak semalam untuk menyaksikan sambutan tersebut, dengan pihak penganjur menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tempat duduk bertingkat untuk keselesaan pengunjung.
Mengenai liputan media, beliau berkata pihak penganjur akan meneliti semula kedudukan jurufoto untuk memastikan lipuran lebih baik pada sambutan akan datang, susulan beberapa maklum balas yang diterima.
Fahmi menyatakan rasa bangga dan gembira kerana sambutan berjalan mengikut perancangan yang telah disusun.
Mufti Wilayah ingatkan bahaya istilah ‘menunggang agama’
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum